Kenyataan Tommy menyalakan api perkauman

- Advertisement -

BUDAYA politik rasis dan ekstrem semakin laris di kalangan mereka yang laparkan populariti. Membakar sentimen kaum adalah cara yang mudah untuk jadi tersohor tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. Demi mengejar nama dan sokongan akhirnya bumi yang subur hangus terbakar.

Inilah pengalaman negara kita tatkala PRU tahun 1969 dahulu apabila parti-parti perkauman kuat membakar sentimen ini semasa berkempen. Mereka terang-terangan mengadu-domba, menghasut ketidakpuasan sesetengah pihak dan dicucuh pula oleh dakyah jahat Parti Komunis Malaya. Tindakan melampau ini akhirnya meletus luar kawalan dan terjadilah Persitiwa Hitam 13 Mei yang mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda.

Hari ini ada pihak yang masih mahu bermain dengan api. Berikut adalah kenyataan Tommy Thomas bekas Peguam Negara di zaman PH dalam Forum ‘Dark forces towards GE15’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Sabtu lepas:

“Pertama saya fikir punca Dr. Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) letak jawatan sekali gus memberi laluan kepada dua kerajaan untuk mentadbir dalam tempoh dua tahun setengah kerana tanggapan mereka pentadbiran sebelum ini sebagai tidak cukup Melayu.


“Namun dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu. Selepas dua tahun setengah itu, ada persoalan penting yang ingin diutarakan: Adakah kerajaan Melayu hari ini lebih efisien dan baik?


“Saya rasa jawapannya, pengundi Melayu pun akan berkata, ‘adakah anda bergurau? Biar betul!’ Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran. Jadi Kerajaan Melayu (hari ini) telah gagal. Jadi anda perlu menggunakan isu ini,”

Kerajaan Melayu telah gagal dakwa Tommy.

Apakah mesej yang mahu beliau bawa sebenarnya, di hadapan peserta yang bukan-Melayu? Bekas Peguam Negara mahu menghodohkan Kerajaan Keluarga Malaysia dan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin sebelumnya, kononnya ia kerajaan gagal jika dibanding dengan Kerajaan PH yang melantik beliau.

Menurut beliau apabila umat Melayu Islam bersatu, membina kekuatan politik dan menjadi tunjang negara, mereka menjadi tidak efisien dan tidak baik, akhirnya gagal, adilkah dakwaan itu? Terutama melonggokkan tuduhan jijik itu atas kemampuan dan kebolehan kaum Melayu?

Tidak pastilah adakah Tommy bercakap sebagai perkakas PH atau bagi pihak dirinya yang pernah dilantik kerajaan PH. Apa pun ternyata ia suatu kenyataan yang berbau perkauman dan cukup jahat serta tidak langsung menyumbang ke arah perpaduan nasional.

Anasir seumpama beliaulah yang perlu dijauhi dan demikian juga parti yang mendukung dan mengangkat beliau.Waspada puak rasis dan ekstrem ini, jangan sampai Malaysia kembali ke zaman lampau.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -