Bawa keluar masyarakat dari kesedihan kepada kegembiraan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepantasan membawa keluar masyarakat dan umat Islam daripada keadaan kesedihan kepada kegembiraan dan kebahagiaan adalah antara fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Selain itu, katanya satu lagi fokus utama beliau adalah keprihatinan kepada isu-isu kebajikan masyarakat dan umat Islam.

Menurutnya, beliau menjadikan dua perkara itu fokus utama apabila mula memasuki pejabat secara rasmi.

- Advertisement -

“Saya sentiasa berpesan, sebagai agensi Islam kita perlu bertindak pantas dan responsif.

“Kita mahu tunjukkan bahawa agensi Islam paling terkehadapan berbanding agensi-agensi dan jabatan lain,” ujarnya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.

Beliau juga menyeru kakitangan agensi hal ehwal Islam di bawahnya menjadikan pejabat sebagai rumah kedua dan bekerjalah sebagai satu keluarga.

Katanya lagi, sudah masuk kali yang keenam Perhimpunan Agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semenjak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Agama.

Tambahnya, pertemuan beliau aturkan untuk diadakan setiap dua bulan.

Menurutnya, cukup pantas masa berlalu dan amat rugilah bagi mereka yang tidak memanfaatkan masa yang Allah kurniakan itu dengan perkara yang berfaedah.

Katanya, sudah setahun beliau bertanggungjawab menerajui 14 agensi hal ehwal Islam.

“Dalam pertemuan ini juga saya membentangkan apa yang telah dilaksanakan sepanjang setahun pentadbiran,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pada majlis hari ini juga, Applikasi Al Hijrah Plus turut dilancarkan.

Jelasnya, aplikasi itu memudahkan semua untuk mengakses rancangan atau berita dengan lebih mudah melalui telefon pintar masing-masing.

“Semoga ianya memberikan manfaat buat semua masyarakat dan umat Islam di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -