Khuatir fitnah di media sosial jadi budaya, amalan masyarakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial yang dilancarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam.

Ketuanya, Ustaz Md Ali Jamil berkata, kempen seumpama itu wajar disambut oleh semua umat Islam memandangkan fitnah melalui media siber lebih bahaya, cepat merebak dan mewabak kepada seluruh masyarakat.

Menurutnya, dalam dunia digital hari ini, hampir setiap orang mempunyai media sosial tersendiri dan mereka berhak memuat naik, menghantar mahupun menulis sebarang maklumat di media sosial.

- Advertisement -

Malangnya, ujar beliau sebahagian besar maklumat yang ada tidak sahih, tidak tepat bahkan lebih banyak mengandungi unsur fitnah.

“Apa yang membimbangkan kita adalah fitnah di media sosial menjadi budaya dan amalan masyarakat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, apa yang membahayakan adalah fitnah di media sosial pada hari ini sukar ditapis dan dibendung di mana segala bahan fitnah itu bercampur baur dan menjadi sebati dalam masyarakat.

“Sehingga sukar kita mengenal pasti apa maklumat sebenar dan maklumat palsu yang diterima. Kerana itu, Allah menyebutkan bahaya fitnah lebih besar daripada pembunuhan,” katanya lagi.

Beliau berkata, ada kalangan pengguna media sosial tidak menghiraukan soal dosa dan pahala serta tidak mengambil berat soal implikasi terhadap kesalahan yang mereka lakukan.

“Dengan fitnah atau berita yang tidak benar ini boleh memisahkan hubungan suami dan isteri, menyebabkan hubungan renggang antara sesama ahli keluarga, mewujudkan jurang antara umat Islam, membezakan kelompok, masjid, pertubuhan sehingga parti politik,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau langkah yang dilakukan oleh JAKIM amat tepat pada masanya kerana ia dapat mencegah kemungkaran terbesar dalam negara ini.

Menurutnya, masyarakat terutama umat Islam mesti bertanggungjawab terhadap apa juga bahan yang mereka sebarkan, hantaran, mahupun tulis.

“Umat Islam perlu tahu dosa dan pahala, salah dan benar, serta balasan syurga dan neraka terhadap apa yang mereka katakan, tulis mahupun sebarkan,” katanya.

DUPWP juga, katanya menyeru agar semua pihak kembali kepada landasan agama dalam menggunakan media sosial.

“Janganlah kerana mahupun maklumat, isi berita atau sumber yang sensasi sehingga sanggup merosakkan diri sendiri, keluarga dan juga masa depan insan lain.

“Ketahuilah, di saat kita menulis, menghantar atau memuat naik apa juga maklumat, malaikat di kanan dan kiri sedang sibuk pula mencatat segala amalan dan perbuatan kita seharian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -