‘Kita sampaikan isu rakyat hingga dapat perhatian kerajaan negeri’

- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
PAS Sabah sentiasa mempunyai komitmen tinggi sebagai penghubung untuk menyampaikan isu rakyat kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan, beliau berusaha cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masyarakat Tionghua.

- Advertisement -

“Kita akan cuba bantu mana yang mampu untuk menyampaikan isu atau keperluan rakyat sehingga mendapat perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui sempena program ziarah masyarakat Tionghua di Pejabat Persatuan Ling Sheng, di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu dan Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mustaman Mustain.

“Kita akan berkomitmen dan mengutamakan hubungan toleransi kaum di negeri ini,” jelasnya yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri.

Sementara itu, Sahar pula menyatakan PAS negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap semua rakyat dalam usaha meningkatkan toleransi kaum di negeri ini.

Terdahulu, Persatuan Ling Shen Jen Foo Chung Lean-San Tang Sandakan melalui pengerusinya, Liew Kon Sung menyerahkan surat permohonan dana kepada Dr Aliakbar di pejabat persatuan itu. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -