Kelantan negeri sarat adat dan budaya

- Advertisement -

SAYA menerima banyak komentar daripada sahabat-sahabat, malahan rakan-rakan media sosial berkaitan konsert Riuh Sokmo! yang sedang rancak diadakan bermula dua hari yang lepas. 

Pelbagai versi sudut pandang diberikan dan yang dapat saya simpulkan adalah mereka yang bersuara adalah kebanyakan mempunyai asas kebimbangan yang sama iaitu suburnya budaya konsert di Kelantan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan merasakan kebimbangan yang sama sementelah negeri ini telah mempunyai identiti adat dan budaya tersendiri dengan dasar Merakyat Membangun Bersama Islam.

Anak-anak muda pastinya menjadi sasaran utama kepada siri-siri konsert serta hiburan yang diadakan dan hal inilah yang amat membimbangkan semua pihak termasuk golongan ibu bapa, pimpinan setempat dan kerajaan.

Selaku pimpinan anak muda, saya percaya sikap anak muda Kelantan yang terdidik dengan dasar Islam sejak kecil akan mempunyai penegasan dengan hiburan yang melampau.

Batasan adat, budaya dan agama yang memenuhi dada-dada anak muda akan pasti menjauhkan mereka daripada terjerumus ke kancah kemaksiatan.

Enakmen Hiburan Negeri Kelantan secara ringkas masih tidak membenarkan persembahan wanita berumur 15 tahun ke atas di pentas umum (persembahan wanita hanya untuk audien wanita) dan segregasi peserta dengan 3 tempat duduk iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Sayugia jika pelanggaran kepada enakmen hiburan dilakukan, saya juga ingin bertegas mewakili suara anak muda agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur. Pelanggaran walau kecil umpama barah yang akan merosakkan anak bangsa.

Jika semua ini diambil perhatian, saya percaya negeri yang sarat adat dan budaya ini akan terus subur merakyat Membangun Bersama Islam

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -