Misi kemanusiaan Syabab Care dan PASRelief di Lombok

- Advertisement -

PERTUBUHAN Syabab Prihatin dan Kebajikan (Syabab Care Malaysia) yang diketuai oleh Mohammad Azwan Mohd Kamaruzaman selaku Pengarah Operasi Syabab Care Malaysia dengan kerjasama PASRelief telah melaksanakan misi kebajikan dan kemanusiaan di Lombok, Indonesia.

Misi yang dijalankan selama empat hari bermula 6 hingga lalu turut dihadiri oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah PASRelief, Ustaz Yusni Mat Piah, Pengurus Pertubuhan Syabab Prihatin dan Kebajikan (Syabab Care Malaysia) Ustaz Ahmad Abdullah Sanek, wakil daripada U-Tijarah Malaysia serta beberapa peserta daripada Syabab Care Malaysia sendiri.

Tujuan utama bagi misi ini adalah bagi merasmikan Masjid As-Syabab dan juga asrama Tahfiz As-Syabab yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia yang disalurkan melalui Syabab Care Malaysia.

- Advertisement -

Masjid yang diberi nama Masjid As-Syabab Raudhatul Hasanah ini pernah mengalami keruntuhan akibat gempa bumi yang berlaku di Lombok pada tahun 2018. Ia telah pun dibina semula dengan bantuan yang diberikan oleh pihak Syabab Care Malaysia dengan usaha kutipan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang menzahirkan keprihatinan untuk membantu masyarakat di Lombok yang memerlukan.

Masjid As-Syabab Raudhatul Hasanah telah pun siap dibina pada pertengahan tahun 2021. Namun disebabkan penutupan sempadan negara berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat situasi Covid-19 tempoh hari menjadi halangan bagi Syabab Care Malaysia selaku penggerak utama misi bantuan Lombok tidak dapat mengadakan majlis perasmian masjid tersebut.

Alhamdulillah, pada tahun ini Pihak Syabab Care Malaysia dengan kerjasama beberapa pihak telah dapat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid As-Syabab Raudhatul Hasanah, Dusun Karang Raden, Desa Pemenang Darat, Lombok. Masjid yang menjadi tumpuan masyarakat Islam setempat ini telah pun beroperasi sepenuhnya dan dapat digunakan seperti sediakala.

Majlis perasmian Masjid As-Syabab turut disekalikan dengan perasmian Maahad Tahfiz Al-Quran As-Syabab yang dibina di lokasi yang sama.

Maahad tahfiz yang mengambil masa setahun bagi proses pembinaannya ini telah dibina hasil bantuan pihak Syabab Care Malaysia yang mengumpulkan dana bersama para penyumbang daripada rakyat Malaysia.

Perasmian Masjid As-Syabab Raudhatul Hasanah dan Maahad Tahfiz As-Syabab ini telahpun disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan turut dihadiri para pembesar daerah.

Selain itu, pada misi kebajikan dan kemanusiaan di Lombok ini juga pihak Syabab Care Malaysia mengadakan kutipan sumbangan wakaf al-Quran.

Hasil sumbangan wakaf al-Quran yang diberikan oleh rakyat Malaysia telah diserahkan dan diagihkan kepada para pelajar tahfiz, pesantren dan sekolah-sekolah yang ada di sekitar Lombok.

Misi kebajikan dan kemanusiaan Lombok yang diberi nama Wisata Kebajikan Lombok pada kali ini melibatkan kerjasama ramai pihak dari Malaysia dan Indonesia.

Alhamdulillah segala objektif misi kali ini telah berjalan dengan lancar. Dengan kejayaan misi kali ini diharapkan kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia umumnya dan Syabab Care Malaysia dengan masyarakat Lombok khususnya dapat diteruskan pada masa akan datang.

Pihak Syabab Care Malaysia merupakan pertubuhan kebajikan yang aktif dalam menyalurkan bantuan dan bersedia menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

Pihak Syabab Care Malaysia juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu memberikan infaq dan sumbangan untuk disalurkan kepada insan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -