Banjir: Pastikan barang keperluan mencukupi

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hari ini mahu bekalan barangan keperluan di negeri-negeri dijangka terjejas banjir dipastikan mencukupi, serta tidak memberi kesan yang ketara terhadap harga barang-barang tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta kementerian berkaitan perlulah memastikan bekalan barangan keperluan di negeri-negeri dijangka terjejas banjir mencukupi.

- Advertisement -

Nanta yang mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu hari ini berkata Nadma, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan kementeriannya sendiri pula, perlu memastikan harga barang keperluan di negeri tersebut tidak meningkat.

Beliau berkata persiapan menghadapi banjir dibuat selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menghadapi monsun timur laut (MTL).

“Ini termasuklah dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri tersebut seperti ROVR bekalan petrol, diesel dan sebagainya,” katanya.

Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan MTL 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Nanta dalam pada itu berkata buat masa ini, bekalan dan harga ayam serta telur ayam gred A, B dan C didapati stabil.

“Pemantauan berterusan dilakukan di semua peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan ia terus stabil,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata buat masa ini tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan stok penimbal bagi minyak sawit mentah (CPO), memandangkan harga CPO di pasaran dunia adalah stabil buat masa ini dan mengikut unjuran, harga CPO akan mengalami sedikit penyusutan pada bulan Oktober hingga Disember ini.

Beliau berkata kerajaan akan meneruskan libat urus dengan pemain industri dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, bagi meninjau kebolehlaksanaan penetapan harga dua peringkat terutama terhadap kegunaan domestik yang merangkumi kurang daripada tujuh peratus daripada keseluruhan pengeluaran CPO negara.

Nanta dalam pada itu memaklumkan bagi tempoh 1 Julai hingga Sabtu lepas (11 Julai), pasukan penguat kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan terhadap 345 syarikat pembungkus, pemborong (2,203) dan peruncit (25,493) minyak masak tulen bersubsidi polibeg.

Hasil daripada pemeriksaan itu, 140 kes direkodkan dengan 52 kes daripadanya membabitkan ketirisan di peringkat pemborong.

“Hasil siasatan awal mendapti wujud elemen menyorok bekalan, tiada rekod dalam buku perolehan dan menjual minyak masak bersubsidi kepada individu/ premis tidak berlesen,” katanya.

Mengenai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM), Nanta berkata setakat Sabtu lepas (10 Sept) program itu telah dilaksanakan di 512 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Mesyuarat telah mengenal pasti punca kelewatan pelaksanaan di beberapa negeri dan kementerian yang menyeliakan negeri tersebut telah diminta untuk menggerakkan logistik dan rakan strategik di negeri-negeri tersebut.

“Pelaporan PJMKM akan dibuat di mesyuarat tiap hari Khamis setelah data-data perlaksanaan dari negeri-negeri diterima pada hari Selasa,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -