Piala Dunia: Hoki remaja negara disasar ke separuh akhir

Foto daripada Facebook Malaysian Hockey Confederation.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meletakkan sasaran kepada pasukan hoki remaja negara sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Disember tahun hadapan.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata harapan itu, turut disandarkan ke bahu ketua jurulatih terbaharu pasukan berkenaan Muhammad Amin Rahim, yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan pakar pukulan sudut penalti negara, sebelum beliau bersara pada 2014.

Beliau berkata pasukan negara akan turut mendapat kelebihan bermain di laman sendiri, apabila kejohanan itu turut menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

- Advertisement -

Subahan berkata negara pernah menjadi tuan rumah kejohanan yang sama pada tahun 1982 dan 1989, selain pernah menganjurkan secara bersama kejohanan itu dengan Singapura pada 2009.

“Kita harap piala dunia ini Malaysia akan menyinar, kita mesti menyinar sebab kita tuan rumah. Jadi, kita kena mempamerkan pasukan yang hebat dan sasaran itu sekurang-kurangnya separuh akhir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Cek Penajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Edisi ke-10 2022, di sini hari ini. (Foto atas)

Subahan berkata kejohanan itu dijangka akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan pasukan hoki negara akan didedahkan dengan pelbagai kejohanan seperti temasya Sukma Kuala Lumpur dan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor, sebagai persiapan untuk menghadapinya.

“Secara peribadinya saya rasa mereka bermain dengan baik, tetapi kita mahu berikan mereka pengalaman sebanyak mungkin. Selepas ini, pasukan akan berjalan banyak ke pelbagai tempat untuk ambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan tahun depan dan perlawanan ujian,” katanya.

Beliau turut berharap agar kejohanan tersebut menjadi pemangkin kepada kemajuan sukan hoki dan pembangunan dalam kalangan remaja di rantau ini. – BERNAMA

- Advertisement -