Muktamar PAS dalam semangat kemerdekaan negara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 membuka tirai pagi ini dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Jalan utama ke lokasi muktamar di Kota Sarang Semut sesak sejak pagi lagi.

Deretan kereta boleh dilihat di kiri kanan jalan di sekitar Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut. Malah banyak halaman rumah penduduk tidak jauh dari tempat muktamar menjadi tempat parkir kenderaan perwakilan dan pemerhati.

- Advertisement -

Muktamar kali ini juga mencatat sejarah apabila turut dihadiri Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Senator Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ketua Pemuda Ikatan Shahril Adnan, dan wakil-wakil gerakan Islam luar negara termasuk dari Indonesia, Thailand, Turkey, Vietnam dan pelbagai lagi negara.

Muktamar bermula dengan pemeriksa pembarisan pasukan anggota Jabatan Amal oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 8.45 pagi.

Perbarisan masuk dimulakan Mursyidul Am Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan diikuti pemimpin utama PAS dan tetamu jemputan.

Pengerusi Tetap Husin Ismail berkata, muktamar kali ini diadakan bertepatan dengan semangat sambutan hari kemerdekaan negara yang baru disambut 31 Ogos lepas.

Katanya, muktamar kali ini lebih meriah dengan dua sambutan serentak iaitu muktamar dan hari ulangtahun kemerdekaan negara. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -