ALOR SETAR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang diadakan pada hari ini adalah muktamar terpenting sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Presiden PAS itu, muktamar yang menegaskan hala tuju parti supaya Islam terus memimpin bagi menyelamatkan rakyat dan memulihkan negara, seterusnya mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek kesejahteraan hidup, kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian kaum.
Maka, ujarnya PAS mengangkat tema ‘Malaysia Sejahtera’ pada muktamar di ambang PRU15 ini berpandukan janji yang benar daripada Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-A‘raf ayat 96 yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan seksaan disebabkan perbuatan yang telah mereka lakukan.
“Ini janji yang telah berlaku kepada generasi Islam dahulu apabila mereka bersama Islam yang memenuhi ciri-ciri ilmu, tarbiah dan perjuangan.
“Diikuti dengan pelaksanaan yang paling berjaya dalam sejarah manusia, bukan sekadar teori dan ideologi yang terus berada dalam percubaan dan mendedahkan kegagalan sehingga kini.
“Semua kita mahukan sebuah Malaysia yang sejahtera, di mana masyarakat hidup harmoni dan keperluan hidup dapat dipenuhi secara saksama,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.
Menurut beliau, sesungguhnya formula atau ramuan untuk membina sebuah negara yang sejahtera telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui wahyu-Nya dalam al-Quran dan dilaksanakan secara realiti oleh Rasulullah SAW sepanjang 10 tahun pemerintahan Baginda di Madinah.
Jelas beliau, PAS sejak awal penubuhannya mengajak seluruh rakyat Malaysia kembali kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah, sebagai sumber rujukan utama untuk kita membangunkan Malaysia yang sejahtera seterusnya membina sebuah peradaban.
PAS, kata beliau kemudiannya telah mengemukakan satu pelan tindakan ke arah itu yang dinamakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).
Katanya, di dalam WINS, telah digariskan prinsip-prinsip Islam tentang usaha membangunkan negara dan rangka kerja secara berfasa sehingga tahun 2051 untuk membina Malaysia yang sejahtera.
Beliau berkata, pada peringkat Fasa Pertama WINS sehingga 2030, usaha digembleng untuk menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi oleh Malaysia seperti kerapuhan perpaduan kaum, salahguna kuasa dan rasuah, penyalahgunaan dadah, industri dosa dan ekonomi gelap serta masalah-masalah lain yang menghambat kesejahteraan negara.
“Sememangnya masalah-masalah yang sedang kita hadapi ini cukup gawat, memerlukan kerjasama bersepadu atas semangat kesatuan ummah untuk memerangi golongan yang mencetuskan masalah tersebut. Mereka berbuat demikian demi kepentingan sendiri,” ujarnya.
Menurut beliau, sepanjang dua tahun PAS berkongsi kuasa dalam Kerajaan Persekutuan, pengalaman yang sangat berharga telah diperolehi.
“Pengalaman ini sangat berguna untuk kita mengemaskini pelan tindakan di dalam WINS sebagai persediaan untuk PAS sekali lagi berada di dalam kerajaan selepas PRU15 nanti, insya-Allah,” kata beliau.
Dalam tempoh terdekat ini, jelasnya WINS akan dikemaskini menjadi lebih lengkap dengan menggariskan pelan tindakan yang lebih terperinci bersama indikator yang lebih jelas untuk mengukur pencapaian.
Tambahnya, PAS akan bekerjasama dengan kalangan ilmuwan, profesional dan teknokrat untuk mengemaskini WINS, seterusnya mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakannya pasca PRU-15.
Ini, ujarnya termasuklah penyediaan manifesto bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi negara dan rakyat pasca pandemik Covid-19.
“Terpenting adalah langkah bersepadu untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, merapatkan jurang kaya-miskin, mengurangkan kos sara hidup, menghapuskan peranan ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan melampau, membangunkan industri hiliran, mencipta peluang pekerjaan, membangunkan bakat tempatan, dan menyediakan perumahan mampu milik, di samping kesungguhan membina masyarakat yang bahagia, menjaga kesihatan rakyat, keselamatan wanita, kanak-kanak dan OKU, kelestarian sumber alam, jaminan sekuriti makanan, serta komitmen tinggi untuk menjunjung nilai integriti, keadilan, kehebatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
“Manifesto yang kita tawarkan ini, bukan sekadar janji kosong seumpama pihak lain, tetapi suatu perencanaan yang boleh dilaksanakan insya-Allah, malah sebahagiannya telah pun dilaksanakan oleh PAS sendiri di negeri-negeri, kementerian dan GLC,” katanya.
Beliau menambah, PAS yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Malaysia dan juga sebahagian daripada kerajaan di negeri-negeri tertentu, serta menerajui tiga negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, telah memperolehi pengalaman yang sangat berharga dalam menghadapi wabak yang tidak pernah dihadapi oleh negara sejak mencapai kemerdekaan.
Katanya, pimpinan PAS yang diberikan amanah dalam Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah memainkan peranan yang cemerlang, sesuai dengan portfolio masing-masing ketika negara berperang dengan Covid-19.
“Pencapaian PAS di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, membuktikan bahawa tanggapan PAS tidak mampu untuk berperanan sebagai kerajaan adalah meleset sama sekali,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Malah, katanya rakyat menyaksikan kesungguhan dan ketangkasan wakil rakyat PAS, petugas parti, sukarelawan dan NGO dalam menghulurkan bantuan kebajikan tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, di atas semangat berlumba-lumba membuat kebajikan (fastabiqul khairat), seterusnya mendekatkan PAS kepada masyarakat.
“Penghargaan yang besar juga kita berikan kepada Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dan kemudiannya disambung oleh Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob yang telah berjaya mengemudi negara dengan baik sehingga Malaysia berjaya menghadapi kegetiran dan kegawatan wabak global yang dihadapi,” ujar beliau.
Tambahnya, PAS yakin rakyat dapat melihat dengan jelas kecemerlangan kerajaan yang berteraskan kesatuan ummah, berjaya membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.
“PAS mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu, memastikan tiada seorang pun rakyat yang tertinggal bagi membina semula kehidupan mereka, terutamanya membantu rakyat membangunkan semula kehidupan mereka, menyokong perusahaan kecil sederhana untuk mempergiatkan kembali perniagaan mereka, di samping memudah cara syarikat gergasi meningkatkan pelaburan bagi merancakkan proses pemulihan negara,” ujarnya lagi.
Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana pada tahun ini PAS dapat mengadakan muktamar secara fizikal sepenuhnya, setelah dua tahun dilaksanakan dalam pematuhan SOP Covid-19, demi menghidupkan budaya syura dan musyawarah dalam parti, serta memenuhi kehendak Perlembagaan.
“Marilah kita menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita telah berjaya mengharungi wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, sehingga berlakunya krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang menjejaskan kehidupan rakyat.
“Pasca pandemik Covid-19 ini, menuntut PAS terus berperanan dengan cemerlang dalam kerajaan terutamanya membantu rakyat yang sedang berjuang untuk membina kembali kehidupan mereka setelah terjejas teruk semasa Covid-19,” katanya.
Menurutnya lagi, PAS bertanggungjawab membangunkan semula negara dan membina kembali kehidupan rakyat yang perlu diberikan keutamaan buat masa ini. – HARAKAHDAILY 3/9/2022