Pemuda sedia pikul kepercayaan pimpinan tertinggi PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda PAS akan menterjemahkan kepercayaan pucuk pimpinan tertinggi parti ini dengan berwatak mencontohi anak muda zaman Rasulullah SAW, demikian janji Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari. 

“Tuan-tuan akan dihantar menuju ke kawasan masing-masing selepas daripada ini untuk membawa kefahaman perjuangan kita yang insya-Allah.  

“Kalau dibubarkan Parlimen berlaku selepas daripada ini, tidak ada lagi waktu untuk kita berehat kerana kitalah generasi yang akan membawa bendera Islam ini,” ujarnya menyuntik semangat. 

Beliau memberi reaksi terhadap beberapa pimpinan yang menyebut mengenai 30 peratus calon anak muda untuk PAS memasuki PRU15 nanti. 

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berucap dalam penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi. 

Dalam ucapan itu, beliau menegaskan pendirian Pemuda PAS yang selari sebagaimana pucuk pimpinan yang telah menyatakan tiada rundingan dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). 

Tegasnya, apatah lagi terhadap pihak yang pernah menggelar Presiden PAS sebagai antara tiga jahanam, selain menyerang kerajaan diterajui PAS di Kelantan dan Terengganu. 

“Kita ada border, ada line yang tak boleh kita cross iaitu menyatakan pendirian, menyatakan pendirian. Tetapi mensyarahkan pendirian parti ialah merupakan kerja kita sebagai Pemuda.  

“Tuan Guru Presiden pimpinan telah menyatakan bahawa tidak ada sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya, maka ke situlah pendirian kita. Tak perlu kita bertindak lebih bijak daripada pimpinan. 

“Dalam kenyataan yang berbentuk pendirian ini perlu untuk kita faham, perlu untuk kita hadam di dalam benak fikiran kita. Kalau saya sentiasa sebut bahawa dalam menentukan pendirian parti, kita sudah ada pemimpin,” peringatnya. 

Katanya, PAS akan dilihat terus relevan selepas daripada ini berikutan pelbagai isu yang berlaku seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, kerana parti ini jelas berintegriti. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -