Usul satu lawan satu, tolak kerjasama dengan PH diluluskan

- Advertisement -

YAN: Dewan Ulamak PAS Pusat meluluskan usul satu lawan satu dan menolak sebarang kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) untuk dibawa ke perbincangan pada Muktamar PAS ke-68, di Kompleks PAS, esok.

- Advertisement -

Usul dibawa Dewan Ulamak PAS Kelantan oleh Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail itu diluluskan tanpa bahas dan sebulat suara dipersetujui perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) pada Muktamar DUPP kali Ke-61, di sini hari ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata, usul yang dibawa itu selari dengan ucaptama Ketua DUPP, Senator Datuk Ahmad Yahaya, malah ditegaskan lagi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin.

Katanya lagi, strategi satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang perlu dilaksanakan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri antara parti politik Melayu, Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrim.

“PAS perlu memainkan peranan proaktif untuk menyatukan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu atau Islam supaya kekuatan Melayu Islam dapat disatukan di bawah agenda Penyatuan Ummah.

“Strategi satu lawan satu perlu dilaksanakan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri antara parti PAS, dan Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu atau Islam supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH,” katanya.

Selain itu katanya, PAS masih tidak berputus asa untuk mengajak rakan Umno dan BN supaya dapat bersama dalam penyatuan Ummah termasuk bukan Islam yang tidak ekstrim.

Usul kemudian disokong oleh Perwakilan Dewan Ulamak PAS Indera Mahkota, Nasruddin Hassan Tantawi.

Menurut Nasruddin, Ahli PAS dan Umno perlu berhenti menyerang satu sama lain dan berhenti mengungkit sengketa lama.

Katanya, alasan mengkritik rakan politik hanya kerana mereka memulakan kritikan terlebih dahulu adalah tidak wajar.

Beliau percaya ahli PAS perlu menjadi ejen pendamai dan mengucapkan kata-kata yang menyentuh hati serta tidak menghiris hati.

“Kawal ucapan, supaya ucapan kita tidak memanaskan keadaan. Orang lain kita tidak boleh untuk kawal, tetapi kita boleh kawal ucapan kita dengan akhlak Islamiyah.

“Jika kita menjaga ucapan kita, mungkin akan ada pertolongan dari Allah, dan tidak mustahil pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita dapat melihat semula detik Piagam MN,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -