PAS wajar tambah calon wanita pada PRU15

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

SIK:
PAS sentiasa membuka ruang bagi mengangkat peranan wanita untuk dijadikan calon dalam pilihan raya.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, calon wanita wajar ditingkatkan khususnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Kata beliau, dari segi parti PAS akan memberi peluang kepada semua dewan termasuk Muslimat, Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Jawatan kuasa pilihan raya akan meneliti calon yang dihantar dan kita juga mengadakan perbincangan di peringkat negeri,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 62 di Dewan Al-Hana, Sik di sini hari ini.

- Advertisement -

Kata beliau, PAS menyanjung tinggi komitmen dan pengorbanan yang diberikan muslimat dalam konteks pilihan raya negeri mahupun kawasan.

Menurut beliau, untuk rekod seramai 39 calon muslimat telah bertanding sama ada di peringkat parlimen dan DUN pada PRU ke-14 lalu.

Katanya, calon muslimat yang kalah dalam PRU akan diberi peluang menjadi senator bagi mengutarakan isu-isu wanita di peringkat masing-masing.

“Calon yang tidak menang kita angkat sebagai senator bagi mengisi kekosongan ruang tersebut, contohnya di Terengganu.

“Begitu juga calon dari DHPP diangkat menjadi senator bagi mengetengahkan isu di peringkat mereka,” katanya lagi.

Selain itu beliau turut mengulas tentang ketokohan wanita dalam Perikatan Nasional (PN) yang perlu diterjemahkan kerana separuh dari pengundi adalah daripada golongan wanita.

“Disebabkan itu isu golongan ini wajar dijadikan perhatian penting antaranya isu ekonomi rumah tangga apabila berlaku kematian suami secara mengejut,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -