ALOR SETAR: Kemenjadian Pemuda penting dalam memperkukuh kekuatan dan perpaduan PAS dengan membawa fikrah dan kesatuan amal serta menjadi penggerak utama di negeri, kawasan dan cawangan.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata, Pemuda PAS mesti sanggup memikul tugas, kerana jika tidak bebanan itu terpaksa dihadapkan kepada pimpinan yang sedia sibuk.
Dalam masa sama beliau mengingatkan para sahabat Pemuda PAS agar tidak melangkaui sempadan kerja dilakukan orang lain, sebaliknya berfokus kepada tanggungjawab sendiri.
“Kita mahu ingin melahirkan pemimpin dan juga penggerak para pemuda yang sentiasa memahami tugasan dan sentiasa bekerja membantu jemaah kesemua peringkat,” ujarnya berucap dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Beliau turut memuji beberapa peningkatan dan pencapaian Pemuda PAS dalam beberapa perkara antaranya melibatkan pendidikan dan kerja-kerja kebajikan yang dilihat semakin berpengaruh.
Ustaz Hanafi juga berharap gerak kerja Pemuda PAS dari Perlis hingga ke Sabah menjadi bukti perjuangan di sisi Allah SWT yang akan diganjari-Nya di akhirat kelak.
“Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS telah mengeluarkan satu direction, buku yang jelas manual. Balik selepas muktamar ini setiap orang mesti memiliki buku tersebut untuk kita study dan bincangkan.
“Lumatkan agar bahawasanya kita boleh jangkakan kepada mana-mana peringkat. Baik di peringkat kawasan, baik di peringkat negeri dan menyatakan kepada peringkat Pusat bahawasanya kami telah bersedia untuk meletakkan calon anak muda di Parlimen dan juga DUN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022
Kemenjadian Pemuda PAS mesti dibuktikan dengan kerja
- Advertisement -