Muslimat perlu lebih berketerampilan, inklusif

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

SIK:
Dewan Muslimat PAS Malaysia menyarankan semua anggota muslimat supaya lebih berketerampilan, lebih inklusif dan mesra masyarakat.

Menerusi Lajnah Perpaduan Nasional dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Lajnah Hubungan NGO, muslimat mampu memecah tembok dengan golongan bukan Melayu dan non-Muslim.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berharap semua muslimat menanamkan niat yang ikhlas untuk menyantuni sahabat yang kembali kepada fitrah sebagai jambatan kepada masyarakat luar untuk lebih mengenali Islam.

- Advertisement -

“Hubungan dua hala dengan NGO-NGO di luar perlu digiatkan agar menjadi ejen perpaduan ummah.

“Dengan gabungan ini, kita dapat bekerjasama mewujudkan suara semak imbang kepada dasar-dasar kerajaan dan ianya dilaksana sesuai dengan keperluan pembangunan negara tanpa mengabaikan pembinaan jati diri bangsa dan meneguhkan pegangan agama,” katanya pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 62 di Dewan Al-Hana, di sini hari ini.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyaksikan kuasa pengundi muda mencorakkan kepimpinan dan hala tuju pemerintahan negara.

Katanya, perubahan landskap ini memberi cabaran kepada muslimat Muda untuk bersifat lebih proaktif dalam tindakan mesasarkan kluster pengundi muda dalam setiap program.

Serangan pemikiran yang menyebabkan kecelaruan kata beliau perlu ditangani dengan perancangan strategik gabungan sayap muslimat muda PAS iaitu Ameerah, Briged Muslimat, dan Nusaibah.

“Harapan kami, kepimpinan Dewan Muslimat PAS, agar anak-anak muda sekalian memiliki jati diri dengan tiga sifat teras Ashabul Kahfi iaitu beriman, sentiasa mendapat petunjuk dan teguh pendirian.

“Muslimat muda mampu merangka dengan jelas hala tuju dan pelan tindakan seiring bersama muslimat veteran.

“Moga ianya menutup ruang kelemahan dalam perjuangan Muslimat PAS bahkan menandai langkah progresif untuk membangunkan tenaga muda sebagai pelapis perjuangan serta dapat mensasarkan pengundi muda pada PRU15 ini,” katanya.

Dewan Muslimat juga kata beliau memerlukan keterampilan muslimat profesional yang semakin ramai menikmati pendidikan di peringkat tinggi dengan kepakaran bidang masing-masing.

“Kita perlu mengemukakan solusi yang praktikal, didiskusikan di seminar-seminar berteraskan penyelidikan dan pemikiran Islam dan terhasilnya proposal ilmiah dan objektif untuk diangkat ke meja-meja perbincangan dalam Dewan Muslimat PAS Malaysia, NGO, Kementerian dan Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -