Kekuatan yang melangsungkan PAS sehingga hari ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS perlu menjadi kuat untuk memimpin umat dan muafakat serta membawa mesej Islam kerana tidak mungkin keadaan lemah mampu menarik pihak yang lemah juga di mana mungkin akan sama-sama rebah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, tujuan berpolitik dan bermuafakat mestilah jelas dalam semua keadaan di mana PAS menyedari kepentingan tersebut.

Sangkalnya, adalah tidak benar menyatakan PAS tidak menegur rakan komponen Perikatan Nasional (PN), sebaliknya sentiasa melakukan hal tersebut sama ada secara perbuatan mahupun lisan.

Jelas beliau, ia sebagaimana dalam Konvensyen PN 2022 baru-baru ini, namun segala kepelbagaian perlu diterima di mana PAS tidak boleh menganggap atau menetapkan mereka itu menjadi sama seperti parti ini.

“Kita tak boleh paksa jadi macam  kita, tak boleh. Yang boleh ialah kita memimpin, menunjukkan contoh, menegur mengikut panduan. Sama juga dengan rakan-rakan kita dalam Umno. Sebab itu kita berterusan menegur.

Habaq cara elok hangpa tak mahu dengar kita buatlah cara keras sikit. Bercakap pun tak reti juga, pulas telinga. Pulas telinga pun tak lepas, tepuk bahu. Tepuk bahu tak lepas, tepuk belakang. Tepuk belakang tak lepas, benam dalam tanahlah. 

“Itu cara kita menegur,” ujarnya menyelitkan seloroh dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini hari ini.

Bagaimanapun tegurnya, dalam bermuafakat tidak boleh menghilangkan jati diri dan juga melebihkan pihak lain berbanding pimpinan dan kepentingan parti sendiri, bermakna sudut kefahaman dan prinsip mesti dikuatkan.

Antaranya mesti jelas perkara thawabit yakni prinsip yang tetap, berbanding mutghaiyyirat iaitu pendekatan fleksibel di mana boleh berubah mengikut keperluan semasa.

“Prinsipnya jelas misalnya ketika Ketua Pemuda membantah penganjuran konsert. Itu prinsip yang jelas walaupun kita sebahagian daripada parti kerajaan. Namun bidang kuasa kita terbatas. Walaupun bidang kuasa terbatas, kita tetap bersuara membantah.

“Perkara-perkara yang tak selari dengan dasar perjuangan kita. Bermula dengan membantah secara dalaman, menegur secara lisan, membuat surat memorandum, sehinggalah akhirnya menyuaraka secara terbuka,” terangnya.

Menurut beliau, kerana prinsip yang PAS perjuangkan sejak dulu sampai hari ini tidak pernah berubah walaupun pemimpin silih berganti dan ahli PAS datang serta pergi, termasuk ada keluar parti, tetapi PAS tidak runtuh.

PAS ujarnya, terus wujud sampai hari ini ketika mana banyak muafakat-muafakat politik yang berlaku sebelum ini akhirnya berkubur, hingga dilihat parti politik berasaskan Islam paling kuat dan titik inilah menyebabkan PAS sentiasa diserang.

Beliau menyeru para Pemuda PAS membina kekuatan diri sendiri, keluarga dan organisasi. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -