Sanusi ucap tahniah genap setahun pentadbiran Ismail Sabri

Kredit foto: UPDA
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas genap setahun dilantik sebagai Perdana Menteri.

Muhammad Sanusi berkata Ismail Sabri mampu menangani pelbagai cabaran dengan tenang dan berwibawa sepanjang tempoh pentadbiran beliau sebagai perdana menteri.

“Cukup tempoh setahun Datuk Seri Ismail Sabri mengemudi bahtera tanah air kita, Datuk Seri selayaknya menerima pujian dan penghargaan.

- Advertisement -

“(Ini kerana) ketika sewaktu mengambil alih kepimpinan negara, beliau berhadapan bukan sahaja cabaran pandemik Covid-19 dan kemelut politik dari dalam dan luar parti…tahniah sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi semangat gagasan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Ismail Sabri yang mengajak rakyat untuk bersatu padu, negara berupaya mendepani cabaran atau krisis termasuk Covid-19, kemelut politik dan inflasi.

“Dalam situasi seperti ini tidak ada keupayaan yang lebih ampuh untuk kita hadapi melainkan bersama-sama menyatukan hati dan tekad untuk melawan apa jua cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah keluarga yang besar iaitu Keluarga Malaysia.

“Untuk itu, kita perlu mengetepikan apa jua perbezaan untuk bersama-sama memperjuangkan kelestarian hidup dalam suasana sejahtera, makmur dan harmoni di tanah air tercinta ini,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan menyifatkannya sebagai langkah efisien dalam mengawal kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Jelajah AKM Negeri Kedah adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

Penganjuran Jelajah AKM bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan. – BERNAMA

- Advertisement -