Sidang Assabiqun dicadang sebagai Dewan As-Sabiqun

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN | Foto MUHAMMAD ZARIF ZULKIFLEE

ALOR SETAR:
Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed mencadangkan supaya nama Sidang Assabiqun PAS sebagai Dewan As-Sabiqun PAS, jika cadangan ini diluluskan melalui pindaan Perlembagaan PAS.

Menurut beliau, cadangan itu akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dipertimbangkan sebelum dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PAS bagi menaiktarafkan status Sidang Assabiqun.

Katanya, ia selaras dengan peranan yang akan dilaksanakan oleh Sidang Assabiqun PAS Pusat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

- Advertisement -

“Menjelang genap sedekad usianya, kita berharap Sidang Assabiqun PAS Pusat dapat dinaikkan tarafnya sebagai sebuah sayap dalam perjuangan PAS.

“Setaraf dengan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, atau menyamai kedudukan DHPP yang ditubuhkan lebih awal,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Sidang Assabiqun PAS Pusat 2.0 di sini hari ini.

Menurut beliau, Sidang Assabiqun mempunyai keutamaan mengatasi DHPP dalam organisasi PAS kerana ahlinya bukan sahaja dianggotai oleh para ulamak, muslimat dan aktivis PAS, tetapi para jasawan yang berpengalaman dan istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, mereka telah menghabiskan masa mudan untuk berjuang dan memimpin PAS, sebelum menyerahkan baton perjuangan kepada generasi baru.

Tambah beliau, sebagaimana Islam mengiktiraf peranan golongan As-Sabiquuna al-awwaluun di kalangan para sahabat r.a sebagai kelompok yang telah teruji keimanan dan kesetiaan mereka kepada Rasulullah s.a.w.

Para As-Sabiqun dan As-Sabiqat PAS juga, kata beliau memiliki ciri-ciri yang serupa dalam perjuangan walaupun mereka tidak sedarjat dengan para sahabat r.a.

“Ahli-ahli Assabiqun bukan kelompok yang banyak membuat karenah dalam perjuangan. Sebaliknya kita adalah kelompok ahli PAS yang sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk kita terus menyumbang dan berkhidmat kepada perjuangan secara istiqamah.

“Inilah kekuatan yang dimiliki oleh para As-Sabiqun dan As-Sabiqat PAS, yang menurut pandangan saya, ia perlu diberikan pengiktirafan oleh PAS,” ujarnya.

Beliau menegaskan, langkah pengiktirafan yang paling penting sekarang menaiktarafkan organisasi Sidang Assabiqun PAS menjadi sebuah ‘Dewan’ yang akan berperanan seperti Dewan Pemuda yang mengatur pergerakan pemuda dan Dewan Muslimat yang mengatur pergerakan muslimat dalam PAS.

Katanya, dengan kedudukan ahli veteran PAS semakin bertambah, sudah tentu peranan mereka terhadap PAS juga bertambah.

Ini, ujar beliau bertepatan dengan realiti masyarakat Malaysia yang mengalami peningkatan pertumbuhan warga emas.

“Kita berharap peningkatan taraf Sidang Assabiqun, bukan sahaja dapat memperkasakan organisasi PAS, tetapi kita dapat mengatur pergerakan para As-Sabiqun dan As-Sabiqat dengan lebih tersusun dalam meningkatkan keberkesanan keseluruhan gerak kerja tarbiyah, dakwah dan siasah PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -