KUALA LUMPUR: PAS melalui Perikatan Nasional sedia bertempur dalam pertimbangan semua kemungkinan situasi menghadapi PRU15, namun tetap terbuka untuk berbicara dan berbincang dengan Barisan Nasional sehingga kini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, PAS menyedari hakikat tersebut, tetapi perlunya ada gabungan yang terbaik dan membuka ruang itu kepada semua parti-parti yang tidak ekstrem dan bukan PH.
Beliau menegaskan demikian dalam ucapan perasmian penuh bersemangat di hadapan lebih 1,000 tetamu dan perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
“Kita menyedari beberapa kerusi yang perlukan perbincangan bagi mengelak kemenangan oleh Pakatan Harapan, khususnya DAP dan rakan-rakan sekutu yang bekerjasama dengan mereka.
“Kita perlu dalam kerangka yang besar dan berjiwa besar dalam situasi ini. Ini bukan bermakna kita takut menghadapi pilihan raya,” ujarnya sedia bertempur dengan sesiapa sahaja lawan Perikatan Nasional sekira itu menjadi pilihan.
Seru beliau, Pemuda PAS mesti bersiap sedia dalam semua situasi yang ada dan parti akan buat keputusan penting dalam bulan ini serta tidak akan berganjak daripada tempoh tersebut.
Menurut beliau, Perikatan Nasional akan terus diperkukuhkan sebagai platform PAS menghadapi PRU15.
Beliau mengakui kemelut politik, ketidakstabilan dan kecelaruan dalam hala tuju sebahagian parti-parti yang berlaku mutakhir ini menyebabkan sebahagian anak-anak muda sudah tidak minat lagi kepada politik.
Menurut beliau, sikap ini membahayakan masa depan negara kerana anak muda perlu terlibat dalam politik disebabkan politik adalah dasar yang akan menentukan hala tuju dan nasib rakyat.
“Alhamdulillah PAS menjadi parti yang paling stabil dalam kemelut ini insyaAllah. Walaupun negara tiga kali bertukar kepada Perdana Menteri, kita berjaya mewujudkan suasana harmoni dalam negara.
Tidak ada tumpah darah. Tidak ada pergelutan perpecahan ataupun kemelut perkauman. Tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini walaupun kita, negara berdepan dengan situasi yang sangat gawat, kegawatan politik ditambah dengan kegawatan COVID-19, dan kegawat ekonomi yang datang serentak.
“Alhamdulillah, PAS majlis sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, kita berjaya meneruskan situasi kestabilan dalam negara kita walaupun bertukar Perdana Menteri, alhamdulillah Tan Sri Muhyiddin Yassin berjiwa besar.
“(Beliau) sedia mengundurkan diri demi kestabilan negara dan inilah yang kita hendakkan, yang kita inginkan bagi menghadapi pilihan raya yang penuh stabil pada masa hadapan, insya-Allah.
“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan, hasil daripada rakan-rakan kita yang keluar daripada Pakatan Harapan. Kita menyedari betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan mereka.
“Sebab itu bagi kita apa jua muafakat politik, kita tak boleh mengenepikan rakan kita daripada parti BERSATU. Tanpa mereka, Umno pun tak mungkin duduk dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini.
“Takkan bila kita menang jadi kerajaan, tiba-tiba kita nak mengenepikan sahabat kita, rakan kita. Kita berkawan waktu susah dan senang dalam menghadapi situasi yang gawat atau situasi tenang.
“Muafakat politik bukan hanya bersifat sementara tapi menentukan hala tuju negara, ke mana sebenarnya negara nak dibawa? Ke mana rakyat nak dibawa?” ujarnya terus menjentik kesedaran. – HARAKAHDAILY 1/9/2022
PAS sedia bertempur dengan siapapun lawan PN
- Advertisement -