Perwakilan sokong naik taraf sebagai Dewan As Sabiqun

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ALOR SETAR:
Para perwakilan Konvensyen As Sabiqun 2.0 sebulat suara menyokong Sidang Assabiqun PAS Pusat dinaik taraf sebagai Dewan As Sabiqun PAS Pusat.

Perwakilan dari Selangor, Mohsinul Tahir berkata, ia selaras dengan peranan yang dimainkan oleh sidang tersebut yang mempunyai pengalaman luas serta istiqamah memberi ketaatan kepada jemaah.

Sehubungan itu beliau membaca ikrar diikuti para perwakilan sebagai tanda sokongan penuh daripada perwakilan yang hadir.

- Advertisement -

“Kami perwakilan As Sabiqun dan As Sabiqat negeri-negeri dengan ini memberikan sokongan kepada kepimpinan pusat untuk berusaha memohon keizinan kepada pucuk pimpinan PAS Pusat berdasarkan perkara 16(h) supaya menaik taraf As Sabiqun menjadi dewan di semua peringkat,” katanya semasa sesi perbahasan perwakilan di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed; Setiausaha Sidang Assabiqun PAS Pusat, Mohamad Noor Mohamad; Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Negeri Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Timbalan Pengarah Konvensyen, Mohd Fadli Ghani.

Di samping itu, perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Idris Yaakob berkata, peluang mengumpul pahala dalam Islam cukup luas melainkan individu itu sendiri yang tidak mahu berbuat demikian.

“Dalam Islam, tabung pahala orang Islam berada di sepanjang jalan bagi mengumpul pahala menuju akhirat.

“Jika kita mengislam seorang manusia, kita seolah-olah mengislamkan seluruh dunia,” katanya.

Wakil dari Terengganu, Abdul Halim Che Ibrahim berkata, sumber kewangan antara perkara penting bagi menggerakkan As Sabiqun di semua peringkat.

“Kita kebanyakan orang lama sudah ditanam semangat, pastinya pendirian kita tidak berubah dalam menetukan kemenangan PAS, tetapi faktor ekonomi memainkan penting bagi menggerakkan sidang ini.

“Perjuangan kita dahulu susah, hantar surat dari rumah ke rumah adakah anak muda kini sanggup berjuang seperti kita dahulu,” soalnya.

Menurutnya lagi, pelbagai fungsi boleh dijalankan antaranya memastikan seluruh ahli keluarga memberi undi kepada PAS walau apa keadaan sekalipun. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -