Pemuda PAS sedia penuhi 30 peratus calon muda

Ahmad Fadhli Shaari semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-63 di Hotel Raia Alor Setar, di sini , pada 1 September 2022
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia untuk meletakkan 30 peratus calon daripada golongan muda bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai memenuhi keputusan parti.

- Advertisement -

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya menganggap keputusan itu sebagai satu cabaran buat mereka dan menyatakan pendirian, DPPM bukan sahaja bersedia untuk membekalkan 30 peratus calon muda bagi berdepan PRU, namun 100 peratus.

Bagaimanapun katanya, pencalonan itu perlu mengambil kira keboleh harapan (reliable) calon yang menjadi faktor utama yang dipertimbangkan oleh parti.

“Apa yang disebut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan satu bukti parti sentiasa menghargai generasi muda. Itu membuktikan PAS sentiasa relevan untuk pelbagai situasi perkembangan semasa.

“Kami (DPPM) menganggap itu sebagai cabaran kepada kami untuk membekalkan calon di peringkat bawah yang boleh dikira sebagai ‘reliable candidate’ untuk dimenangi,” katanya dalam sidang media Muktamar DPPM kali ke-63, di Hotel Raia Alor Setar, di sini, hari ini.

Turut hadir Tuan Ibrahim, Timbalan Ketua DPPM, Hanapi Zulkapli, dan Setiausaha DPPM, Hanif Jamaluddin.

Katanya lagi, kesediaan parti untuk menawarkan 30 peratus calon daripada golongan muda, membuktikan PAS menghargai sumbangan dan sokongan anak muda.

Secara peribadi kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, tindakan PAS bukan hanya dianggap sebagai satu penghargaan, tetapi cabaran kepada golongan untuk memenuhi kelayakan sebagai calon mewakili parti dalam PRU akan datang.

Tambah Ahmad Fadhli, pihaknya kini telah pun bersedia dengan senarai nama pencalonan dan hanya menunggu keputusan akhir daripada parti.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim semasa memberi ucapan perasmian Muktamar DPPM menyatakan pendirian PAS untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemuda yang akan mewakili parti pada PRU15 nanti.

Katanya, Pemuda mesti bersiap sedia dalam semua ruang-ruang supaya dapat menampilkan barisan kepimpinan yang diperlukan bukan sahaja oleh anak muda, bahkan negara. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -