Peminat kagum Mane dan Mazraoui patuh ajaran Islam

Noussair Mazraoui (dua dari kiri di barisan ketiga) dan Sadio Mane (paling kanan barisan pertama).
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Bayern Munich setiap tahun mengadakan sesi foto sempena Oktoberfest dengan pemain memegang gelas berisi arak, namun dua pemain baharu kelab itu, Sadio Mane dan Noussair Mazraoui, memilih untuk meletakkan ajaran Islam mengatasi segalanya.

Bekas pemain sayap Liverpool, Mane bukan sahaja tidak minum, malah menyentuh gelas berisi arak.

- Advertisement -

Walaupun keadaan itu kelihatan agak janggal ketika sesi itu, Mane tetap mengambil tempat di barisan hadapan bersama seluruh skuad yang berpakaian Lederhosen.

Sikapnya yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang mengharamkan arak menerima banyak pujian peminat di media sosial.

“Macam mana keadaan pun, Sadio Mane sentiasa patuh kepada ajaran agamanya,” tulis seorang penyokong.

“Suka dengan Sadio Mane,” seorang peminat dalam ciapannya di Twitter.

“Sungguh memberi inspirasi. Dia berpegang teguh terhadap kepercayaannya,” kata peminat lain.

Ini bukan kali pertama Mane berbuat demikian. Awal tahun ini, dia dengan penuh hormat meminta Takumi Minamino meletakkan sebotol champagne ketika mereka meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala Carabao antara Liverpool dan Chelsea.

Minamino segera meletakkan botol itu atas permintaan rakan sepasukannya dan mereka kemudian meraikannya dengan seluruh pasukan.

Peminat juga menyedari bahawa Mane bukan satu-satunya pemain Bayern yang tidak memegang gelas arak kerana Mazraoui juga memilih berbuat demikian.

Pemain kebangsaan Maghribi, Mazraoui yang beragama Islam juga mendapat pujian peminatnya.

“Mane dan Mazraoui hebat. Umat Islam berpegang teguh dengan kepercayaan mereka! Anda perlu menghormatinya!” kata seorang penyokong.

Mane dan Mazraoui juga memberikan impak positif di padang sejak tiba awal musim panas ini, membantu Bayern mengutip 10 mata daripada empat perlawanan liga yang membolehkan kelab menduduki puncak carta Bundesliga.

- Advertisement -