Interpretasi kemerdekaan anak muda Malaysia

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Setiap individu mempunyai pandangan dan interpretasi mengenai erti kemerdekaan, namun apakah yang tersirat dalam fikiran golongan anak muda di negara ini?

Bersempena Hari Kebangsaan ke-65 bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang akan disambut esok, 31 Ogos 2022, seorang anak muda, Muhammad Hakimie Mat Noor, 21, sudi berkongsi pandangannya mengenai erti kemerdekaan negara yang tercinta ini.

- Advertisement -

Menurutnya, kemerdekaan dari sudut pandangan anak muda adalah apabila mempunyai kesedaran tentang kepentingan untuk mengangkat akhlak Islamiah, yang sudah tentunya akhlak yang baik di sisi Islam.

Katanya lagi, ini kerana dunia Islam kini berhadapan dengan generasi yang hilang asas sebagai seorang Islam.

Muhammad Hakimie

“Kita juga perlu sedar tentang kebebasan dari kemungkaran kepada anak muda itu lebih utama dari kebebasan yang diminta pada hari ini.

“Justeru, harapan saya kepada kepada rakan-rakan dan anak muda di luar sana supaya memainkan peranan yang proaktif dalam mengekalkan kemerdekaan yang ada.

“Dalam masa sama,  berusaha menuju kemerdekaan hakiki yang dijanjikan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Zulfikaar Azizi Aliakbar, 23, pula menganggap kemerdekaan sebenar adalah umat Islam bebas daripada pengaruh budaya luar yang merosakkan akidah.

Katanya, walaupun salah satu erti kemerdekaan adalah bebas daripada penjajah asing di tanah air tercinta, namun dia yakin ia lebih dari sekadar itu.

Mohd Zulfikaar

“Makna merdeka sebenarnya lebih daripada sekadar itu. Perkara yang saya maksudkan adalah, umat Islam perlu merdeka daripada terpengaruh dengan budaya luar yang merosakkan.

“Umat Islam perlu merdeka daripada ideologi yang bercanggah dengan akidah, dan perlu merdekakan diri masing-masing daripada melanggar perintah Allah,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Maka kata Mohd Zulfikaar Azizi, jika menyelami makna ‘merdeka’ yang dimaksudkan itu dengan lebih mendalam, dia menganggap umat Islam belum merdeka sepenuhnya.

Bagaimanapun, dia sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana Malaysia bebas daripada  cengkaman penjajah asing yang melakukan kezaliman dalam negara sebelum ini.

“Namun kita kena sedar, kita sedang menghadapi penjajahan zaman moden yang sangat halus dan lebih berbahaya berbanding senjata,” katanya.

Hari Kebangsaan ke-65 bakal disambut esok, 31 Ogos 2022 secara besar-besaran di seluruh negara.

Selain itu, Muhammad Muzakkir Ar-Ramadan Mustaffa, 21, pula menganggap Sambutan Hari Kemerdekaan adalah waktu untuk anak muda menyelami keperitan, kesusahan dan pengorbanan para pejuang tanah air mempertahankan negara.

Katanya, anak muda sentiasa bersemangat menyambut Hari Kemerdekaan jika diperhatikan melalui sambutan terhadap kempen-kempen yang dianjurkan pelbagai pihak di media sosial.

“Kita dapat lihat melalui platform media sosial yang banyak menerangkan erti kemerdekaan, semangat kemerdekaan, pengorbanan pejuang-pejuang untuk mendapat kemerdekaan dan lain-lain. 

Muhammad Muzakkir Ar-Ramadan

“Ada penerangan, ulasan dan perkongsian mengenai erti kemerdekaan, banyak di lihat di Tik Tok, Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain yang banyak digunakan anak muda,”” katanya.

Muhammad Muzakkir Ar-Ramadan pada masa sama berharap anak muda dapat mengambil kesungguhan dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan sebagai penguat kehidupan mereka.

“Contohnya, kesungguhan para pejuang memerdekakan Tanah Melayu, kita boleh ambil semangat itu untuk kita terus kuat menempuh rintangan dan cabaran sewaktu kita masih bergelar pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2022

- Advertisement -