Program basmi miskin tegar terus digiatkan

- Advertisement -

GERAK Kerja Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa 2 dijangka akan bermula pada pertengahan bulan September 2022 di 100 lokaliti lagi dengan penglibatan seramai 5,000 KIR miskin tegar di seluruh negara.

Program BMTKM merupakan inisiatif Kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang menggunakan pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach. Pelaksanaan BMTKM bagi fasa pertama yang melibatkan 80 lokaliti rintis dan kira-kira 2,500 ketua isi rumah (KIR) telahpun bermula pada bulan Jun 2022. 

Sehingga kini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan BMTKM telah memperakukan permohonan program bagi 64 lokaliti melibatkan 1,300 isi rumah dengan kos berjumlah kira-kira RM14.9 juta.

Selain itu beberapa lokaliti telah melaksanakan program pembangunan minda serta kursus motivasi dan pengetahuan asas kewangan serta kemahiran. Antaranya, Pada 26 Ogos 2022, Kursus Motivasi dan Bina Insan: Mindset dan Keluarga Bahagia telahpun dilaksanakan di Perumahan Awam Desa Rejang, Setiawangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang melibatkan 22 KIR dan ahli isi rumah miskin tegar di lokaliti berkenaan. Pelaksanaan program yang sama juga telah diadakan sebelum ini di PPR Kampung Muhibbah dan PPR Taman Mulia, kedua-duanya di WPKL pada 20 Ogos 2022, selain Kursus Asas Pertanian di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli, Kelantan pada 4 Ogos 2022.

Semua Pihak Berkuasa Koridor Ekonomi Wilayah (PBK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Labuan (PL) telah diberi mandat sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pengurusan penyaluran peruntukan dan perolehan BMTKM. Manakala lapan universiti awam diberi tanggungjawab sebagai rakan strategik bagi membantu pemantauan program BMTKM. 

Berdasarkan pendekatan keseluruhan negara ini juga, Kerajaan mengalu-alukan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) / organisasi berasaskan komuniti (CBO) sebagai rakan strategik BMTKM. Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang telah memberikan komitmen. Antaranya termasuk, Yayasan Hasanah, FGV Holdings Berhad, The Asia Foundation, Shopee Malaysia Sdn Bhd, Axiata Foundation, AgroBank, Dialog Group Berhad dan UMW Holding Berhad.

Berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Ogos 2022, Negeri Kelantan merekodkan kadar kemiskinan tegar ketiga tertinggi di Malaysia iaitu seramai 15,455 KIR daripada sejumlah 134,853 KIR di seluruh negara.

Bagi fasa pertama BMTKM di negeri Kelantan, sebanyak 8 lokaliti telah dipilih melibatkan 291 KIR, iaitu:

i. Kampung Kubang Golok, Bachok (51 KIR);
ii. Kampung Mengkebang, Kuala Krai (50 KIR); 
iii. Kampung Pulau Kundor, Kota Bharu (33 KIR); 
iv. Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh (24 KIR); 
v. Kampung Kelong, Tumpat (18 KIR); 
vi. Kampung Jejawi, Pasir Mas (12 KIR); 
vii. Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli (68 KIR); dan
viii. Perkampungan Orang Asli Kuala Lah, Gua Musang (35 KIR).

Sehingga kini, sebanyak 47 projek peningkatan pendapatan melibatkan 249 KIR miskin tegar dengan kos berjumlah RM2,579,465 telah diperaku untuk pelaksanaan di Negeri Kelantan. Projek ini dikenal pasti di peringkat akar umbi melalui sesi perbincangan yang melibatkan setiap KIR. Antara aktiviti yang dipilih oleh KIR ini termasuk perikanan pantai, perniagaan makanan dan minuman, penanaman sayuran dan penternakan biri-biri.

BMTKM fasa pertama dijalankan secara rintis. Sehingga kini terdapat beberapa isu dan cabaran utama yang dihadapi dan perlu ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan pelaksanaan fasa berikutnya dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Antaranya adalah status KIR miskin tegar yang dinamik, pemilihan aktiviti ekonomi yang kurang sesuai, model pelaksanaan projek yang kurang mampan, kekurangan kefahaman pihak yang terlibat termasuk KIR serta penyertaan rakan strategik yang masih rendah. Kerenah birokrasi juga turut menjejaskan proses pengurusan program BMTKM.

Sebanyak 15 lokaliti baharu di Sabah, 15 lokaliti baharu di Sarawak dan 10 lokaliti baharu di Kelantan akan dimasukkan dalam program BMTKM fasa 2 ini. Pengalaman dalam melaksanakan BMTKM fasa 1 akan digunakan untuk menambah baik setiap aspek program ini bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang telah ditetapkan. 

Matlamat program BMTKM ini adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada akhir tahun 2025, seperti yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -