Malaysia sudah merdeka, masih ada bumi Islam dijajah

- Advertisement -

PADA 31 Ogos ini, kita rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-65. Setiap lapisan rakyat Malaysia tentu sahaja akan menginggati laungan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” yang diucapkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al-Haj, bapa kemerdekaan negara di kaca televisyen setiap kali tibanya hari kemerdekaan negara.

Kemerdekaan mempunyai pengertian yang cukup bermakna bagi rakyat sesebuah negara, maka wajarlah kita memahami dan menghayati makna kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Laungan “Merdeka“ semata-mata tidak mampu merungkai pengertian kemerdekaan yang tulen dan hakiki.

- Advertisement -

Tidak cukup dengan hanya mempamerkan semangat patriotik seperti mengibarkan Jalur Gemilang, kita perlu mendalami kisah, sejarah mahupun pengorbanan perjuang–pejuang kemerdekaan terdahulu yang berkorban hingga ke  titisan darah terakhir mereka untuk memerdekakan negara daripada penjajah.

Tanpa itu semua, kita tidak akan mampu mengerti apakah makna “kemerdekaan“ yang sebenar kerana kita akan alpa, leka dan lalai dibuai keseronokan akibat kehidupan yang tidak kenal erti perit, susah dan terseksa sebagaimana orang–orang terdahulu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

Kemerdekaan itu terlalu mahal dan tidak ternilai, ia tidak boleh dibeli mahupun dijual malah ramai yang sanggup berkorban untuk memperolehinya kerana ia tidak datang bergolek mahupun boleh diperolehi dengan mudah.

Kita rakyat Malaysia amat beruntung kerana hidup dalam sebuah negara yang merdeka. Kita bebas dalam menentukan masa depan dan hala tuju kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara. 

Malaysia juga boleh dikategorikan di antara negara Islam yang maju, moden dan berdaya saing namun hakikatnya masih ada lagi negara-negara Islam yang dijajah mahupun tidak menikmati kemerdekaan yang sebenar.

Pengalaman saya berada di luar negara ketika menuntut ilmu dan melaksanakan tugasan parti telah banyak mengajar saya erti kemerdekaan sebenar yang tidak terhingga nilainya. Sebagai contoh ketika sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 58, saya berada di Algeria yang digelar negara sejuta setengah syahid.

Mungkin ada tertanya mengapa diberikan gelaran sebegitu kepada Algeria. Ini adalah kerana untuk mencapai kemerdekaan daripada Perancis yang menjajah Algeria satu ketika dahulu, lebih daripada sejuta rakyatnya terkorban menentang penjajahan Perancis demi untuk mencapai kemerdekaan.

Umat mahupun Dunia Islam telah melalui zaman kegelapan sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki, semuanya bermula daripada kelemahan umat Islam sendiri kerana meninggalkan agama yang sewajarnya dijadikan pedoman kepada umat manusia dalam pelbagai bidang dan aspek kehidupan.

Racun asabiyyah perkauman dan mazhab yang dititik oleh penjajah kepada umat dan Dunia Islam ditelan bulat-bulat sehingga menjadi porak-peranda, malah ada yang sanggup menjadi alat mahupun tali barut kepada penjajah Barat menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah. 

Almarhum As-Syeikh Muhammad Al-Ghazali, seorang alim dan pemikir Islam telah memberikan komentar terhadap situasi umat Islam pada ketika itu: “Umat Islam berdepan dengan kezaliman orang-orang Turki dan kebodohan orang-orang Arab”.

Yang bermaksud kezaliman orang-orang Turki terhadap bangsa dan kaum lain walaupun seagama dengan mereka manakala kebodohan orang-orang Arab kerana sanggup menjadi alat mahupun tali barut kepada penjajah untuk memecah- belahkan kerajaan Islam serta umat dan Dunia Islam.

Akibatnya setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, maka negara-negara Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan mengikut kehendak penjajah Barat melalui Perjanjian Pangkor, Sykes Picot, Balfour dan lain-lain perjanjian lagi. Buat pertama kali dalam sejarah ketamadunan Islam, umat mahupun Dunia Islam telah hilang tempat bergantung.

Algeria ditakluk oleh penjajah Perancis sejak dari tahun 1830 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah lazimnya tabiat penjajah, bahkan jatidiri rakyatnya juga turut mahu dicabut supaya tidak ada lagi jati diri sebagai bangsa Arab Muslim. 

Para ulama ditangkap dan dipenjara serta sekolah-sekolah agama ditutup. Bahasa Arab dilarang untuk diajar, jati diri Islam dicabut dan gerakan kristianisasi dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pedalaman, sama seperti yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap umat Islam Palestin.

Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para alim ulama dan pejuang-pejuang yang menentang penjajahan Perancis. Pada tahun 1832, Al-Amir Abdel Qader telah memulakan gerakan Jihad menentang penjajah Perancis yang mempunyai pelbagai kelengkapan canggih dan tersusun dengan taktik peperangan gerila. Perancis menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan Al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847. 

Gerakan jihad tidak mampu dipadamkan dan perjuangan diteruskan oleh generasi seterusnya hinggalah pada tahun 1931, muncul seorang tokoh ulama dan pejuang iaitu Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan membangunkan anak-anak muda dengan tarbiyah Islam dan meniupkan semangat jihad ke dalam diri mereka untuk menentang penjajahan Perancis. 

Slogannya yang masyhur dan dikenang sehingga ke hari ini adalah: “Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami”.

Hasil daripada tarbiyah yang panjang ini telah melahirkan kesedaran yang menyeluruh, maka tercetuslah revolusi pada tahun 1954 sehingga kemerdekaan Algeria dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini mengorbankan lebih daripada sejuta rakyat Algeria. Ternyata mereka sekali-kali tidak tunduk, mengalah mahupun mengikut telunjuk penjajah.

Saya cukup terkesan dan merasai betapa tingginya nilai pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat Algeria untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan bukan semata-mata menghalau penjajah daripada bumi yang dijajah bahkan kemerdekaan sebenar ialah memerdekakan roh, jasad dan pemikiran daripada agenda mahupun perancangan penjajah. 

Rakyat Algeria, bukan sahaja tanah air mereka dijajah bahkan mereka juga tidak rela roh dan jiwa Islam mereka direntap oleh penjajah. Begitu ramai nyawa yang terkorban semata-mata untuk menikmati dan merasai erti kemerdekaan yang sebenar. 

Erti kemerdekaan yang diucapkan oleh Rub’i bin A’amir kepada Rustum, panglima tentera Parsi: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu keluar daripada pengabdian sesama hamba kepada pengabdian kepada Tuhan yang Maha Esa. Daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Mungkin Algeria, tanah air tercinta kita Malaysia mahupun banyak lagi negara–negara Islam telah merdeka dan berjaya menghalau penjajah keluar dari tanah air masing–masing, namun usah kita lupa bahawa masih terdapat lagi bumi umat Islam yang masih lagi dijajah seperti Palestin. Rakyat Palestin diseksa, dizalimi malah dihalau dari rumah dan tanah air mereka sendiri.

Di Xinjiang, bangsa Uighur ditindas, dizalimi dan dipenjara malah ada yang dihalau dari rumah dan tanah air mereka sendiri. Begitu juga nasib umat Islam di Kashmir dan bangsa Rohingya di Rakhine, Myanmar yang dirampas tanah, jiwa dan kemerdekaan mereka.

Namun jangan kita lupa nasib umat Islam di Iraq, Libya, Afghanistan, Syria dan Yaman serta beberapa tempat lagi dalam kalangan negara dunia Islam. Di negara-negara tersebut bukan sahaja berlaku peperangan saudara, malah ada yang dijajah dan kemudiannya ditinggalkan begitu sahaja setelah musnah teruk akibat daripada penjajahan tersebut.

Lihat sahaja Iraq, Libya dan Afghanistan, bukan sahaja diserang negara tersebut tanpa alasan yang munasabah, kemudiannya negara tersebut dijajah seterusnya musnah teruk akibat penjajahan tersebut dan kemudiannya ditinggalkan begitu sahaja setelah dibantai secukupnya.

Ianya bukan sahaja penjajahan semata-mata, tetapi juga penjajahan yang kemudiannya memusnahkan ketamadunan manusia di sesebuah negara akibat sikap rakus, zalim dan tidak berperikemanusiaan kuasa-kuasa imperealis barat. Yang menjadi mangsa adalah negara-negara Dunia Islam yang lemah atau menjadi mangsa keadaan.

Mungkin di beberapa tempat lagi berlakunya pergolakan politik dan perang saudara yang tidak ditakrifkan sebagai penjajahan namun nasib rakyat negara-negara tersebut adakalanya lebih teruk daripada dijajah oleh penjajah. Buminya mungkin merdeka namun sikap pemimpin mahupun negara jirannya yang seperti penjajah menyebabkan bumi dan diri mereka tidak merdeka.

Justeru itu perjuangan untuk memerdekakan bumi umat Islam masih lagi belum selesai dan perjalanannya mungkin amat panjang. Namun jika kita umat dan Dunia Islam bersatu padu dan berkerjasama, segala yang sukar dan menjadi onak mahupun duri dalam perjuangan memerdekakan bumi umat Islam akan mampu diatasi.

Kali ini kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65. Ini bermakna sudah 65 tahun penjajah telah meninggalkan negara kita yang tercinta ini. Adakah kita benar-benar merdeka dan menjiwainya dalam erti kata yang sebenar? 

Ini adalah persoalan yang perlu difikirkan dengan mendalam dan bertanyakan pada diri kita sendiri, adakah kita benar–benar merdeka ataupun tidak.

Jangan semata-mata kita hanya melaungkan kata keramat “Merdeka” saban tahun, tetapi dalam masa yang sama kita juga hendaklah memerdekakan minda dari dibelengu oleh pemikiran-pemikiran penjajah yang bercanggah dengan ajaran Islam. 

Tidak dinafikan bukan semua yang ditinggalkan oleh penjajah itu buruk dan tidak elok. Islam mengajar kepada kita bahawasanya “Hikmah kebijaksanaan itu adalah barang tercicir kepada orang mukmin yang boleh diambil manfaatnya jika tidak bercanggah dengan hukum syarak”. 

Maka oleh itu ada perkara-perkara baik ditinggalkan oleh penjajah yang wajar dikekalkan namun terdapat juga perkara-perkara mesti dibuang demi untuk memerdekakan jiwa kita daripada belenggu penjajah. 

Walaupun penjajah telah meninggalkan tanah air kita akan tetapi amalan penjajah masih lagi diamalkan. Di zaman penjajah kekayaan watan dirompak dan dibawa pulang ke negara mereka. Di zaman penjajah cukai diambil dari rakyat hingga menjadi miskin, melarat dan tergadai. Di zaman penjajah tanah dirampas dan dimonopoli oleh penjajah. Selepas merdeka, sepatutnya kita sudah bebas namun masih ada lagi yang bersikap seperti penjajah.

Walaupun negara kita tidak mengorbankan sejuta setengah syahid untuk mencapai kemerdekaan sebagaimana Algeria, akan tetapi jasa dan pengorbanan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan jangan sesekali dilupakan. Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan rakan-rakannya telah banyak mencurahkan jasa dan baktinya untuk kemerdekaan negara yang tercinta ini. 

Bahkan terdapat juga nama-nama yang seringkali dilupakan daripada lipatan sejarah kemerdekaan negara walaupun jasa mereka amat besar kepada tanah air tercinta ini. Mereka juga adalah wira dan tokoh kemerdekaan negara yang wajar diangkat dan diingati oleh setiap warganegara.

Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Rosli Dhoby, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan ramai lagi pejuang kemerdekaan adalah di antara tokoh-tokoh yang amat besar jasanya dan berkorban demi untuk kemerdekaan ini.

Kemerdekaan itu adalah satu nikmat, maka syukurilah nikmat ini dengan mengembalikan erti kemerdekaan yang sebenar dan hakiki di dalam diri setiap anak watan.

Moga Allah SWT memelihara setiap rakyat Malaysia dan tanah air bertuah yang tercinta ini.

Islam Menyatukan Umat.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -