MAIK catat peningkatan terimaan zakat tahun ini

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatatkan pertambahan penerimaan zakat bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah keseluruhan zakat yang diterima tahun ini sebanyak RM117,680,826.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, berlaku peningkatan sebanyak 29 peratus atau sebanyak RM91,016,709.

- Advertisement -

Katanya, antara peningkatan terbesar dicatat zakat fitrah dengan kenaikan sebanyak 104 peratus iaitu berjumlah RM5,121,596 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Manakala, zakat wang simpanan turut mencatatkan peningkatan signifikan sebangak 32 peratus iaitu perbezaan berjumlah RM3,375,700 berbanding tahun 2021.

“Segmen terbesar terimaan zakat berkenaan ialah zakat pendapatan iaitu RM62,250,781 diikuti zakat wang simpanan sebanyak RM13,881,908 manakala zakat fitrah sejumlah RM10,053,644 serta lain-lain zakat yang kumulatifnya berjumlah RM8,708,776,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.

Zakat terbabit meliputi zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, zakat fitrah, zakat pertanian, zakat emas dan perak serta lain-lain jenis zakat.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, MAIK turut mencatat peningkatan bagi agihan wang zakat sebanyak 14 peratus berjumlah RM95,277,429 berbanding enam bulan pertama tahun lalu iaitu RM83,483,082.

Manakala pengurniaan bantuan rumah kediaman asnaf MAIK bagi tahun 2022 melibatkan 180 penerima di seluruh Kelantan membabitkan peruntukan lebih RM10 juta.

Oleh itu beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang konsisten bersama MAIK dan setakat ini sejumlah 33 peratus pembayar berumur 31 hingga 40 tahun.

“Golongan ini menjadi kelompok terbanyak dalam menyumbangkan zakat kepada MAIK. Malah ini menunjukkan generasi muda mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menunaikan sebahagian Rukun Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -