Bersyukur atas nikmat kemerdekaan diberikan Allah S.W.T

- Advertisement -

AURA kedatangan tarikh hari kemerdekaan negara semakin membakar semangat juang rakyat Malaysia. Di mana-mana, sudah terlihat kibaran-kibaran bendera warna merah, putih, kuning dan biru. Bahkan setiap rumah, premis perniagaan, pejabat-pejabat, pusat-pusat pendidikan dan kenderaan-kenderaan awam, sudah mulai memasang bendera. Malah dihias, dibentuk dan dipersembahkan dengan bermacam-macam cara yang menarik.

Inilah di antara cara yang kebiasaannya dilakukan untuk mengisi makna kemerdekaan. 

Tarikh 31 Ogos 2022 di Malaysia, adalah ulang tahun menyambut 65 tahun kemerdekaan dan menjadi ulang tahun ke-59 penubuhan Malaysia. Tema utama hari kemerdekaan tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah S.W.T atas kemerdekaan yang Allah S.W.T telah berikan kepada Malaysia tetapi cuba fikir-fikirkan sejenak, bagaimana bentuk syukur hamba kepada Allah S.W.T sehingga dapat mengisi kemerdekaan dan dapat mempertahankan negara dari dihina.

Siapa yang dapat menjamin negara akan terus merdeka? Tidak ada jaminan bahawa negara kita akan terus merdeka, dan tiada sesiapa yang boleh mengakuinya. Realitinya, penjajahan boleh datang kembali dan kesatuan antara negeri-negeri dalam negara, boleh hancur.

Bila boleh terjadi? Ketika rakyat tidak mensyukuri nikmat yang Allah S.W.T telah berikan kepadanya. Ketika rakyat masih berfikir mensyukuri nikmat Allah S.W.T itu cukup dengan sekadar mengibarkan bendera merah, kuning, putih dan biru sahaja, di mana di fikiran masing-masing sekadar kibar bendera, bermakna sudah bersyukur dan sudah meraikan hari kemerdekaan.

Ingatlah semua, bahawa dunia sedang merintih kesakitan dengan pelbagai musibah yang menimpa, antaranya COVID-19 dengan pelbagai jenama gelarannya. Salah satu makhluk Allah S.W.T yang sangat halus sekali. 

Sebahagian negara-negara di dunia, menjunam jatuh kemajuan ekonominya, kapal terbang yang canggih-manggih, ada yang terdampar tanpa boleh terbang bebas seperti sebelumnya. 

Pernah berlaku kejadian-kejadian di masa lalu, negeri-negeri yang indah dan makmur, contohnya negeri Saba’ yang ada di negara Yaman sana, yang mungkin juga ada di kalangan rakyat Malaysia yang berketurunan Yaman. Sebuah negeri yang makmur, akhirnya menjadi kering-kontang. 

Apa yang telah rakyatnya lakukan? Bukan ke, sebelumnya mereka dikurniakan kebun-kebun yang sangat subur dengan buah-buahan yang sangat segar untuk kemakmuran mereka. Malah negeri mereka aman sentosa. Mereka melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat tanpa takut kepada perompak, penyamun, pencuri, mafia, pembunuh dan sebagainya. Tetapi akhirnya negeri itu hilang, yang hanya tinggal cerita mengenai mereka untuk menjadi pengajaran. 

Allah sebutkan mengenai mereka di dalam al-Quran, surah Saba’ ayat 15 hingga 19 yang bermaksud:

- Advertisement -

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!

“Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.

“Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.

“Dan – di antara tempat tinggal mereka (di Negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah Negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu) dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): “Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman”.

“(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka, buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.”

(Saba’: 15–19)

Mereka hanya memikirkan nafsu dan syahwat mereka dan melupakan Allah S.W.T yang Pemberi Nikmat.

Bagaimana untuk mengisi kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan ini?

Antaranya:

1. Manfaatkan nikmat ini dengan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

2. Selamatkan negara dari kemaksiatan-kemaksiatan.

Mungkin kita sentiasa memikirkan menyelamatkan negara dari musuh-musuh yang mahu menghancurkan negara dan kesatuan rakyat. Berbangga dengan kemajuan atau kecanggihan peralatan keselamatan yang sudah ada dan kemahiran sistem pengurusan yang terkini, tetapi jangan sampai menjadikan Allah S.W.T sebagai musuh negara.

Allah S.W.T boleh membinasakan sesebuah negara dengan sepatah perkataan sahaja ‘kun!’ maka akan hancur semuanya yang bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(al-A’raf: 96)

Seruan agar beriman dan bertakwa, kedengaran di mana-mana melalui media sosial di langit terbuka tetapi di mana buktinya iman dan ketakwaan itu. Sedangkan kemaksiatan atau kemungkaran atau kejahatan terhadap syariat Islam bermaharaja lela di mana-mana, tempat-tempat kesyirikan masih dibudayakan, pergaulan bebas dibiarkan dan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender) didiamkan. Seolah-olah sekarang kita menunggu azab Allah S.W.T.

Ceramah-ceramah dan penerangan mengenai bahaya riba’ dan seruan agar tinggalkan riba’ sering diperdengarkan, dan ini juga akan menimbulkan sakit hati kepada pengamal riba’.

Allah S.W.T telah memanggil kita dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah 278 hingga 279 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu, akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

(al-Baqarah: 278–279)

Allah S.W.T isytihar perang kepada manusia dengan-Nya bukan dengan Amerika, bukan dengan Rusia, bukan dengan China dan lain-lainnya.

Allah cintakan hamba-hamba-Nya dengan memberikan limpahan rezeki dan kemudahan-kemudahan peralatan untuk keperluan hidup manusia. Adakah kita sudah bersyukur? Allah S.W.T boleh tarik kembali semuanya. Contoh terkini, seluruh dunia terkena wabak COVID-19, dilihat di mana-mana sahaja, manusia menderita dan merana akan akibatnya. Ini cuma serangan dari makhluk yang sangat halus, bagaimana sekiranya Allah S.W.T turunkan pasukan-pasukan-Nya yang lain?

Cuba renungi sebuah ayat yang sering didengari seperti di bawah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.”

(Ibrahim: 7)

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Kalau kita merasakan nikmat Allah Itu pergi atau hilang, jadi ada masalah dalam diri kita, maka semaklah semula, adakah kita belum bersyukur atau kita belum pandai untuk bersyukur, maka belajarlah untuk bersyukur.

Ingat misi Iblis dalam menyesatkan manusia dan memberitahukannya kepada Allah S.W.T bahawa kebanyakan manusia tidak bersyukur:

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

(al-A’raf: 17)

Kesimpulannya

Jadi jangan meremehkan mensyukuri nikmat yang sudah Allah S.W.T berikan. Basahkan lisan memuji Allah S.W.T, ucapkan tasbih, tetapi kekadang kita tidak sedar atau mengerti mengenai apa yang kita ucapkan:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

“Maha Suci Allah dan dengan mengucapkan puji-pujian pada-Nya. sebanyak hitungan makhluk-Nya, sesuai dengan keredhaan Zat-Nya, seberat timbangan ‘arasy-Nya dan sepanjang beberapa kalimah-Nya.”

Dan hati meyakini, semua yang ada di diriku ya Allah, semua yang ada di rumahku dan semua yang dirasakan oleh penduduk negeri ini, semuanya dari Engkau ya Allah. Pengakuan dan keyakinan ini harus ada di hati kita. Jangan pernah rasa ‘syok’ setelah berusaha, kita layak mendapatkan semuanya, ingat! semuanya bantuan dari Allah S.W.T.

Dan hendaklah menggunakan semua nikmat ini untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T. Barulah kita di sebut bersyukur kepada Allah S.W.T. 

Dan jangan lupa membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W kepada Muaz bin Jabar (seluruh umat Baginda) di penghujung setiap solat (sebelum salam) agar menjadi hamba yang bersyukur:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepada-Mu serta beribadah kepada-Mu dengan baik”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dan baca doa dari firman Allah S.W.T di bawah, baca dan dalami tafsirannya dan amalkan di dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara:

رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحًۭا تَرْضَىٰهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِىٓ ۖ إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

….”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)”.

(al-Ahqaf: 15)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -