Konvensyen bincang masa hadapan mahasiswa Sabah

- Advertisement -

Oleh FADILAH NORDIN

KOTA KINABALU:
Kira-kira 500 mahasiswa dari seluruh Sabah akan dihimpunkan Sabtu ini bagi mencari resolusi untuk membina masa hadapan anak muda ke arah lebih cemerlang.

ADUN lantikan Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah itu sebagai wadah bagi menghimpunkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa di Sabah.

Katanya pada program terbabit akan dibincang dan dibahaskan isu-isu semasa khususnya berkaitan masa depan Sabah dan kualiti kepimpinan anak muda untuk membina masa hadapan lebih gemilang.

- Advertisement -

“Mahasiswa merupakan kelompok masyarakat yang berpendidikan. Jadi konvensyen tersebut sebagai medan terbaik untuk bertukar fikiran dan pandangan,” katanya di sini.

Konvensyen terbabit dianjur Persatuan Pengkaji Budaya Intelek Sabah (IKSAS) dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan akan diadakan pada 27 Ogos ini bertempat di Sabah International Convention Centre.

Tetamu undangan pada konvensyen berkenaan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Idris Ahmad, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Dato’ Mohd Ariffin Mohd Arif dan Dr Aliakbar.

Dr Aliakbar yang juga Penyelaras Konvensyen terbabit berkata, program tersebut secara tidak langsung membolehkan pemimpin mahasiswa memperluaskan jaringan dalam kalangan mereka.

“Kami menghimpunkan pemimpin mahasiswa seluruh Sabah supaya mereka boleh membina ukhuwah dan jaringan maklumat secara lebih meluas,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Konvensyen Mohd Asisal Abbas berkata, mahasiswa dari seluruh Sabah diundang pada program terbabit bagi melahirkan mahasiswa berminda negarawan, berfikir global dan bertindak lokal.

Menurutnya juga mahasiswa yang hadir berpeluang berdialog bersama pemimpin kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -