PMKS bantu percepat pemulihan ekonomi

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangunan usahawan merupakan intipati yang paling penting dalam pelaburan negara memandangkan ia adalah teras transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Pengerusi Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2022, Mohd Shahir Adnan berkata, negara memerlukan ekosistem keusahawanan yang mampan dan komprehensif meliputi semua peringkat untuk menjadi sebuah negara maju.

- Advertisement -

“Apa yang perlu ditekankan adalah sektor perniagaan, terutamanya melalui perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana ia adalah signifikan dalam mengembangkan aspek ekonomi negara.

“Melalui kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi awal tahun ini, setelah pembukaan semula ekonomi negara, PMKS membantu memulihkan semula operasi perniagaan.

“Pada masa sama ia mencapai tahap yang lebih baik seperti peningkatan nilai jualan, peningkatan permintaan dan peningkatan aliran tunai,” katanya semasa Majlis MBBA 2022 di Mandarin Oriental, malam tadi.

Menurut Shahir, peningkatan itu menjadi impak positif kepada aspek usahawanan negara selain dilihat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Malah katanya tahun lalu, PMKS menyumbang lebih kurang 38 peratus kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNKK) dan hampir 13 peratus kepada eksport negara.

Beliau secara peribadi berasa berbangga kerana berpeluang untuk bertemu dengan 50 usahawan yang berjaya dalam pelbagai kategori perniagaan masing-masing pada majlis berkenaan.

Katanya, mereka adalah usahawan hebat kerana walaupun diuji dengan pandemik Covid-19, tetapi masih kekal berjaya dan menerima anugerah pada malam tadi.

Para pemenang anugerah mengambil foto berkumpulan setelah menerima anugerah MBBA 2022. Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE/HARAKAHDAILY 22/8/2022

“Jadi berbekalkan kekuatan dan usaha untuk mengurus perniagaan serta daya tahan yang utuh, hari ini bukti anda semua dianugerahkan dengan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia 2022,” ujarnya.

Majlis itu disempurnakan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Harakah turut menerima anugerah khas menerusi kategori Perniagaan Terbaik kategori Berita Dalam Talian (Kandungan Politik). Anugerah diterima Ketua Pegawai Operasi Harakah, Kamal Ashaari. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -