Menteri akui jadi mangsa kemarahan ibu bapa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Kanan Pendidikan mengakui sebelum ini beliau sering berdepan dengan kemarahan ibu bapa kerana melakukan perubahan sistem peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Senator Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketika mulai menjejaki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beliau memperkasakan semula sistem pendidikan terutamanya semasa negara berdepan penularan wabak.

Katanya ketika itu pembelajaran secara fizikal tidak dapat diadakan bagi mengelakkan penularan wabak.

“Sedangkan pelajar terpaksa berdepan dengan banyak sistem peperiksaan yang bermula dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentafsiran Tingkatan Tiga (PT3), SPM dan STPM.

- Advertisement -

“Kalau tuan-tuan hendak tahu sayalah yang sering menjadi mangsa kemarahan ibu bapa,” katanya pada forum sempena ulangtahun kedua Perikatan Nasional (PN) di sini malam tadi.

Pada 28 April 2021 kerajaan memutuskan UPSR dimansuh sepenuhnya, manakala PT3 dibatalkan.

Ekoran pemansuhan UPSR Kementerian Pendidikan Malaysia memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menilai tahap penguasaan murid membabitkan murid tahun empat, lima dan enam sekolah rendah dan tingkatan satu, dua serta tiga bagi sekolah menengah.

Dr Mohd Radzi juga berkata, beliau berusaha mewujudkan Kolej Tingkatan Enam di Kelantan memandangkan negeri-negeri lain sudah ada kolej tersebut.

“Kolej itu penting bagi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Kelantan bagi mencungkil potensi yang ada pada mereka.

“Peluang diberi terutamanya kepada pelajar-pelajar golongan B40 bagi melanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Pada forum tersebut juga beliau memohon maaf kepada guru-guru Pendidikan agama yang memohon untuk pulang berkhidmat di Kelantan memandangkan kuota tersebut sudah penuh.

Katanya, guru-guru agama dari Kelantan, Terengganu dan Kedah terpaksa dieksport mengajar di negeri-negeri lain yang memperlukan khidmat guru agama. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -