Penganjuran konsert tidak hormati Islam agama rasmi Malaysia

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari semasa sesi Townhall Mahasiswa bersama DPMM, di Wisma LKIM, di sini, pada 20 Ogos 22. Foto Media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUCHONG: PAS tetap dengan pendirian penganjuran konsert nyanyian yang melalaikan tidak selari dengan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan, walaupun setelah dituduh sebagai kepolisan moral rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata bukan kehendak pihaknya untuk menyentuh moral orang lain, namun pihak lain perlu menghormati Islam sebagai agama majoriti umat Islam di Malaysia.

- Advertisement -

“Apabila PAS meletakkan (mempunyai) tanggungjawab dalam berpolitik, politik kita haruslah mendapat keredhaan Allah SWT. Itu yang paling penting.

“Jadi apabila timbul soal konsert dan sebagainya, kita perlu ingat negara ini mempunyai Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 menyebut, Islam adalah agama Persekutuan,” katanya.

Justeru kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, sebarang perkara perlu dirujuk tindakannya sama ada selari dengan Islam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022, di Wisma LKIM, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau juga berpendapat bahawa konsert nyanyian sedemikian tidak sesuai dengan Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, sebagai suatu asas.

Dituduh PAS ketandusan idea kerana menegur penganjuran konsert nyanyian, Ahmad Fadhli meminta pihak yang mendakwa sedemikian menonton ucapan dan perbahasan Ahli Parlimen daripada PAS di Dewan Rakyat.

Katanya, Ahli-ahli Parlimen daripada PAS begitu aktif mengambil bahagian dalam perbahasan

“Kadang-kadang orang kata sebegini kerana datangnya daripada parti yang mutu perbahasan Ahli Parlimen mereka sendiri pun apabila di dalam Parlimen, tidak membawa idea, tetapi membawa sampah ke dalam Dewan Rakyat.

“Jadi saya fikir orang-orang seperti ini, mereka perlu cermin diri mereka untuk melihat prestasi Ahli Parlimen mereka,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita dalam talian melaporkan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii telah menyelar Pemuda PAS kerana menyeru umat Islam menentang penganjuran konsert dan menyebutnya sebagai satu bentuk kepolisan moral.

Dr Kelvin Yii berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang menganggap penganjuran konsert-konsert secara bertalu-talu adalah kerja gila yang menjemput kemurkaan Allah SWT.

“Hentikan kerja-kerja begini. Jangan dicabar emosi umat Islam. Pihak berwajib mohon dengar suara umat Islam sebelum datang kemurkaan Allah SWT.

“Ini bukan soal parti politik, bukan soal kecenderungan politik partisan, ini soal agama. Umat Islam perlu bersatu hati menentang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -