Saya kini dibiarkan tanpa pembelaan sebenarnya – Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan bantahan keras terhadap perjalanan prosiding rayuan kes SRC International Sdn Bhd, yang menurutnya melibatkan hidup, kebebasan dan haknya untuk perbicaraan yang adil kini menjadi pertaruhan.

“Sebagaimana yang anda semua tahu, peguam saya telah mengatakan bahawa mereka tidak mahu meneruskan (pembelaan) disebabkan fakta bahawa mereka mempunyai masa yang terhad untuk membuat persediaan.

“Malangnya mahkamah tidak membenarkan mereka untuk menarik diri, termasuk pasukan peguam cara saya,” katanya dalam persidangan media di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Advertisement

Najib berkata natijahnya, pembelaan tidak dapat ditampilkan di mahkamah hari ini, dan hanya pihak pendakwaan yang dapat menyampaikan hujah mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata ia adalah suatu keadaan yang belum pernah berlaku, yang menyaksikan pembelaan dibiarkan tanpa peguam dalam kes yang berprofil tinggi.

“Perkara ini sangat serius dan saya harap mahkamah akan mengambil kira dan mengambil langkah-langkah pembetulan,” katanya sambil menambah bahawa peguamnya sebelum ini Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah melakukan tugas yang hebat semasa mewakilinya, namun pihaknya telah ‘gagal’ di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Najib berkata beliau mahu mendapatkan khidmat Peguam Diraja untuk mewakilinya tetapi permohonan itu juga ditolak Mahkamah Tinggi.

“Dalam keadaan demikian, saya tiada pilihan selain mencari pasukan baharu kerana saya mahukan perspektif baharu kepada kes saya, dan itulah sebabnya saya memutuskan untuk melantik Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Mohd Zaid Ibrahim sebagai pasukan peguam cara,” katanya.

Najib menjelaskan bahawa apabila adanya pasukan pembelaan baharu, terutamanya dalam kes yang sangat kompleks yang melibatkan hampir 200 jilid dokumen yang perlu difahami dan diproses oleh peguam, itulah sebabnya Hisyam memohon masa yang munasabah untuk pasukan itu bersedia sepenuhnya.

Beliau menjelaskan bahawa rayuannya itu adalah satu kes yang kompleks, melibatkan hampir 200 volume dokumen, dan itu sebabnya Hisyam meminta tempoh masa yang memadai bagi pasukannya untuk membuat persediaan penuh.

“Sekali lagi kami dinafikan, dan mereka (peguam) tiada pilihan selain memohon untuk menarik diri, namun tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan. Saya kini dibiarkan tanpa pembelaan sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Hisyam berkata beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengambil bahagian dalam prosiding rayuan kerana tidak diberi masa untuk membuat persiapan yang sewajarnya bagi pembelaan Najib.

“Dalam keadaan itu, saya tidak dapat memainkan peranan yang berkesan. Jadi, pada dasarnya, Datuk Seri (Najib) tidak mempunyai wakil dari segi undang-undang,” kata peguam itu.

Najib sedang membuat rayuan terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta membabitkan dana SRC.

Rayuan berkenaan adalah yang terakhir bagi Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020. – BERNAMA