Kelestarian makanan negara: Peranan Orang Asli di Lojing

- Advertisement -

TAMAN Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) diwujudkan bagi membekalkan pelbagai sayuran bagi keperluan sekuriti makanan kepada negeri Kelantan. Sehingga kini terdapat 3 TKPM iaitu TKPM Batang Merbau (Tanah Merah), TKPM Telong (Bachok) dan TKPM Lojing (Gua Musang).

Bagi TKPM Lojing, Kerajaan Negeri Kelantan amatlah menggalakkan Orang Asli untuk sama-sama terlibat dan berperanan dalam usaha meningkatkan jaminan sekuriti makanan negeri. Galakan ini dibuat bagi mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing bagi sektor pertanian berbanding sebelum ini setelah sedang untuk merancang membuka satu lagi TKPM di Lojing dan yang sedang menunggu proses kelulusan.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri kini sedang berusaha ‘memujuk’ masyarakat Orang Asli supaya bekerja di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing, Gua Musang sebagai langkah pengurangan tersebut.

Dalam laporan berita Utusan 3 Ogos 2022 yang lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail selepas melawat TKPM Telong berkata, keutamaan kepada masyarakat Orang Asli dibuat kerana mereka tinggal berdekatan dengan lokasi TKPM Lojing.

Katanya lagi, Orang Asli yang terlibat diberi kursus dan latihan pengurusan ladang bagi menampung keperluan tenaga kerja di TKPM tersebut. Beliau juga menambah,

“Tujuan utama kita adalah mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing yang sebelum ini bekerja di TKPM Lojing. Selain itu, kita membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk berkhidmat di TKPM Lojing”.

Dalam sidang Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Senator Dr. Wan Martina Binti Wan Yusoff menyatakan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan telah mempunyai perancangan untuk membangunkan projek berimpak besar untuk ternakan lembu tenusu, lembu pedaging dan pertanian di Lojing Highland, Kelantan demi keselamatan makanan negara.

Oleh itu, MAFI melalui Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah membangunkan Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing seluas 41.98 hektar pada tahun 2000 sebagai langkah meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dalam negara.

Tanaman yang diusahakan di TKPM Lojing terdiri daripada tanaman sayur-sayuran seperti cili, daun bawang, jagung, kacang buncis, lobak putih, terung, timun dan tomato. Secara purata TKPM Lojing menghasilkan pengeluaran sebanyak 1,500 tan metrik dengan nilai pengeluaran berjumlah RM3.9 juta pada tahun 2021.

Selain daripada itu, MAFI menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Kelantan bersama dengan pihak East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan beberapa agensi Kerajaan Negeri Kelantan telah merancang beberapa projek berimpak besar di Jajahan Lojing, Kelantan Selatan.

Antaranya termasuklah pembangunan Lembah Tenusu Kelantan (Kelantan Dairy Valley – KDV) menerusi projek penternakan lembu tenusu dan penanaman serta pemprosesan makanan ternakan berkualiti tinggi yang dijangkakan bermula pada tahun 2024. Pada masa ini, kawasan pelaksanaan projek tersebut telahpun dikenalpasti dan ujian kesesuaian tanah sedang giat dijalankan.

Perancangan KDV ini adalah sejajar dengan matlamat agrofood@ECER, Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara dan Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0) yang menyasarkan peningkatan pengeluaran susu segar tempatan ke arah mencapai Tahap Sara Diri (Self-Sufficiency Level – SSL) 100 peratus bagi susu segar menjelang tahun 2030.

Lojing merupakan tanah milik Kerajaan Negeri yang menjadi lokasi usaha sama Kerajaan Persekutuan bagi menterjemahkan kesepaduan dalam Agenda Keselamatan Makanan Negara.

Walaupun terdapat beberapa kritikan tertentu berkaitan pengurusan guna tanah di Lojing , namun tidak dapat dinafikan bahawa usaha pembangunan kawasan pertanian berimpak tinggi di Lojing ini ketika mana negara dan dunia sedang mengalami ketidaktentuan jaminan makanan adalah satu keutamaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis makanan.

Semoga usaha yang baik demi kedaulatan makanan ini diteruskan dan sebarang kelemahan yang ada diperbaiki supaya kedaulatan makanan negara kita terjamin dan Lojing Kelantan menjadi penjamin penting bagi kelestarian sumber makanan negara.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -