Kastam patah sindiket seludup daun ketum

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan (JKDM) berjaya mematahkan sindiket pengedaran daun ketum sebanyak 1,450 kilogram selepas serbuan dilakukan ke atas sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Ketereh, kelmarin.

Pengarah JKDM, Mohd Nasir Deraman berkata, tangkapan itu dibuat berdasarkan hasil intipan yang dilakukan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai berasal dari Tumpat.

Katanya, modus operandi yang digunakan dengan meletakkan papan di bahagian belakang lori bagi melindungi daun ketum.

- Advertisement -

Selain itu mereka membuat penukaran pemandu secara bergilir-gilir dari satu lokasi ke satu lokasi melibatkan seramai dua ke tiga orang bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Malah katanya, daum ketum itu juga dipercayai telah diangkut masuk dari negeri jiran sebelum diedarkan kepada pelanggan-pelanggan tempatan di sekitar Kelantan.

“Pasukan operasi cawangan penguatkuasa JKDM Rantau Panjang Kelantan telah mengekori sebuah lori dan berjaya membuat tangkapan dan merampas 145 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi daum ketum dengan nilai rampasan sebanyak RM14,500.

“Bagaimanapun, JKDM Kelantan akan mengesan saki baki mereka yang terlibat dan setakat ini kita sedang mengesan pemilik daum ketum tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Katanya juga rampasan membabitkan daum ketum sejak Januari hingga hari ini sebanyak empat kes membabitkan 5,814 kilogram, manakala bagi tahun 2021 ialah sebanyak dua kes iaitu sebanyak 343 kilogram.

Katanya, statistik berkenaan menunjukkan ada peningkatan kes berbanding tahun lalu disebabkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya bahan terlarang termasuk dadah, minuman keras, rokok, kenderaan dan daun ketum. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -