Terengganu akan bina 1,203 lagi rumah di Kuala Nerus

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu merancang untuk membina sebanyak 1,203 unit rumah pelbagai jenis di kawasan pentadbiran Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan berkenaan akan dilaksanakan di dua bidang tanah dengan keluasan keseluruhan 46.9 ekar.

“Projek ini akan melibatkan Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A yang memberi fokus kepada rakyat kumpulan B40, RPMM Jenis B untuk M40 dan seterusnya golongan T20 yang akan ditawarkan perumahan Jenis C.

“Bagi menghargai penjawat awam di negeri Terengganu, projek perumahan ini juga turut akan melibatkan satu lagi kategori iaitu perumahan bagi penjawat awam,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Secara Penswastaan di Pusat Pentadbiran Kuala Nerus di Wisma Darul Iman, semalam.

Jelasnya, pembangunan berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri dalam memenuhi manifesto membina 20,000 unit rumah sepanjang penggal pertama mentadbir di negeri Terengganu.

“Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan tidak mencukupi untuk menampung kesemua jumlah permintaan untuk pembinaan RMM yang tinggi di negeri Terengganu.

“Jadi, ini merupakan kejayaan kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri kerana telah berjaya menarik satu lagi pelaburan bagi pembinaan perumahan secara penswastaan yang kelapan bagi rumah mampu milik, bercampur dan penjawat awam,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, penyerahan surat tawaran cadangan diserahkan kepada pemaju, Kpower Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Mustakim Mat Nun yang akan menanggung kos pembinaan tersebut berjumlah RM315 juta dengan tempoh pembinaan dijangka memakan masa selama lima tahun.

Tambah Dr Alias, keutamaan pembinaan akan difokuskan kepada 276 unit RPMM kategori A yang akan dijual pada harga RM80,000 dan RPMM kategori B iaitu sebanyak 360 unit yang berharga di bawah RM185,000.

“Besarlah harapan saya yang mewakili kerajaan negeri agar segala perancangan pembangunan ini akan berjalan lancar dan dapat disiapkan sebagaimana jadual.

“Sekiranya terdapat sekatan dan halangan di pertengahan jalan, kerajaan negeri dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bahagian Perumahan sentiasa terbuka untuk bersama-sama membantu bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan dapat mencapai matlamat,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -