Perluas inisiatif SHASSIC, tarik lebih ramai pemain industri

- Advertisement -

SAYA berbesar hati di atas kesudian Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya yang telah menjawab persoalan saya mengenai keberkesanan Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (SHASSIC) dalam menyelesaikan isu-isu keselamatan di tapak pembinaan pada sesi sidang Dewan Negara hari ini. 

Isu keselamatan dan kesihatan dalam pembinaan di peringkat global merupakan suatu industri yang mempunyai tahap persekitaran berbahaya yang tinggi. Justeru, menjaga kebajikan pekerja di luar dan di kawasan tapak pembinaan bukan semata-mata langkah untuk menguntungkan perniagaan, bahkan ia merupakan langkah kemanusiaan khususnya bagi menjaga nyawa manusia. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) pada tahun 2018, sektor pembinaan mencatatkan angka kematian tertinggi sebanyak 32 kes berbanding sektor pekerjaan lain. 

Walau bagaimanapun, saya berpendapat melalui penilaian SHASSIC yang lebih meluas, maka sektor pembinaan mempunyai ruang untuk dibaik pulih serta diperbaiki bagi mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat. 

Oleh itu, saya amat berharap kementerian melaksanakan lebih banyak inisiatif yang proaktif bagi menggalakkan lebih ramai pemain industri pembinaan menggunakan sistem penilaian SHASSIC dalam projek-projek pembinaan yang dijalankan bagi memastikan kualiti hasil kerja yang tinggi sekali gus menjamin keselamatan di samping memacu pertumbuhan sektor pembinaan.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -