Program pencarian bakat atlet di sekolah

- Advertisement -

KPM secara asasnya telah menjalin kerjasama erat dengan kementerian lain, temasuk KBS khususnya untuk pembangunan bakat atlet murid seperti pelaksanaan Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID), penganjuran liga bola sepak, Malaysian Little League (MiLL) serta program pencarian bakat untuk sepak takraw yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama KPM juga sentiasa meningkatkan kolaborasi dengan pihak swasta, badan korporat, persatuan sukan, pemimpin masyarakat serta ibu bapa untuk memantapkan lagi usaha mencungkil lebih ramai bakat sukan dalam kalangan murid.

Petang semalam saya memenuhi jemputan Persatuan Bola Tampar Putrajaya bagi menyempurnakan majlis penutup kejohanan bola tampar amatur. Selain kategori terbuka, sebanyak 8 sekolah dari Putrajaya turut diundang memeriahkan kejohanan ini.

Inisiatif ini tentunya memberi ruang kepada murid membina keyakinan diri untuk bersaing dan menonjolkan potensi dimiliki. Pihak sekolah juga berpeluang belajar pelbagai aspek dari sudut penganjuran kejohanan dalam skala besar dari badan sukan yang berpengalaman. 

Kerjasama dengan pelbagai pihak ini bertujuan memastikan bukan saja kita dapat mencungkil bakat baharu tetapi memberi keyakinan kepada anak-anak di sekolah bahawa setiap daripada mereka mempunyai kekuatan masing-masing dan boleh dioptimumkan.

Syabas kepada 8 sekolah di Putrajaya yang menyahut cabaran menyerlahkan bakat dalam kejohanan ini. Tahniah buat Sekolah Alam Shah dan SMKPP8(1) yang masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita. 

Semoga pengalaman yang dikutip boleh dijadikan pembakar semangat untuk mencorak kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. Ingat, nothing beats hard work!

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -