Pemuda perlu manfaat peluang bersama kerajaan GRS

Oleh BASITH SAMAD

KOTA KINABALU:
Pemuda PAS perlu mengubah pendekatan untuk memastikan peranan sebagai sebuah parti kompenan dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat dimanfaat semaksimum mungkin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah berkata, Pemuda PAS di semua peringkat termasuk di peringkat kawasan perlu mengadakan hubungan dengan semua jentera kerajaan negeri bagi melaksanakan dasar parti melalui setiap ruang dan peluang.

Katanya Pemuda PAS perlu memainkan peranan sebagai sayap pemuda kepada kerajaan negeri Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah dan Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

“Inilah jalan terbentang luas yang perlu kita manfaatkan untuk memastikan PAS terus berperanan sebagai parti kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Sabah kali ke-35 di sini, semalam.

Tambah beliau pemuda PAS perlu mentransformasi pemikiran dan tingkah laku selaras dengan PAS sebagai sebuah parti komponen Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurutnya pemuda PAS perlu menerajui solusi bagi menangani masalah rakyat bersama kerajaan bagi merakyatkan naratif GRS sebagai Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pemuda kena tampil memberi tawaran baharu untuk kepada rakyat dengan pakej politik dakwah, inklusif dan perkongsian pintar.

“Kita perlu mencipta keadaan yang kondusif kepada rakyat supaya mereka dapat merasakan keselesaan dan kestabilan politik dan merebut peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” ujarnya.

Hendri turut mengingatkan pemuda PAS menggerakkan usaha dengan serius bagi mendekati golongan Undi18 supaya mereka memahami aspirasi politik Islam dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 7/8/2022