Program Penghijauan Malaysia – Penanaman 100 juta pokok

- Advertisement -

SAYA sertai aktiviti penanaman pokok di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kotasas petang semalam bersama Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang yang lain. 

Kira-kira 70 pokok pelbagai jenis ditanam dalam aktiviti tersebut yang diusahakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi menjayakan Program ‘Greening Malaysia’ atau Penghijauan Malaysia. 

Ia kempen kesedaran mengenai kepentingan hutan dan kawasan litupan hijau untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara ini. 

Tema kempen ini adalah ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’. 

Program ini diumumkan di bawah RMK-12 pada tahun 2020 dan dilancarkan di seluruh negara pada awal tahun 2021. 

Di peringkat Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri menggerakkan program Penanaman 5 Juta Pokok Pahang sebagai usaha menjayakan program nasional berkenaan.

Hadir melapangkan masa untuk aktiviti petang semalam, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin serta Ahli-ahli Dewan Negeri Pahang. 

Setiap pokok yang ditanam diletakkan nama pokok dan info ringkas di kod bar yang dilekatkan di pokok berkenaan.

Ia mengandungi nama pokok dan info ringkas yang boleh diimbas. Gambar pokok yang ditanam juga dimuatnaik ke aplikasi tersebut. Pokok-pokok yang ditanam ini akan dijaga oleh Unit Landskap. 

Pokok yang ditanam di tujuh zon penanaman di hadapan PPSAS ini melibatkan spesies landskap, pokok hutan dan pokok buah seperti Meranti Kuantan, Gelam, Sentul, Medang Teja, Pelawan, Bungor, Cempedak, Kedondong, Merawan Siput Jantan, Simpoh Air, Pulai, Tecoma, dan pokok Hujan-hujan. 

Tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di atas usaha yang dijalankan. Dan saya memberikan sokongan penuh kepada usaha tersebut serta sedia memberikan komitmen bagi menjayakannya.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -