HARGA arang batu (coal) dunia sejak setahun yang lepas telah naik dengan mendadak. Contohnya di Eropah, harga arang batu tahun ini telah meningkat 137 peratus sementara di Australia sebanyak 140 peratus. Kenaikan juga berlaku pada arang batu yang dieksport oleh Indonesia di mana 63 peratus dari arang batu yang digunakan di Malaysia diimport dari negara tersebut. Arang batu adalah penting kerana ia digunakan untuk menjana sebahagian besar dari tenaga elektrik di negara kita.
Selain dari arang batu yang menjadi sumber bahan api, minyak adalah juga sumber bahan api yang paling penting kerana selain dari untuk pengangkutan sama ada penumpang atau barangan ia juga dibakar untuk menjana tenaga elektrik. Walau bagaimanapun seperti arang batu, harga minyak juga tidak stabil. Harganya dipengaruhi oleh perkembangan politik dan permintaan dunia. Ada ketika ia naik dan ada kala ia turun.
Kenaikan harga bahan api ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kita sebagai pengguna. Sama ada secara langsung apabila harga minyak naik atau secara tidak langsung apabila tarif elektrik dinaikkan akibat kenaikan harga bahan api. Apabila ini berlaku kita disarankan untuk mengubah cara hidup bagi menyesuaikan diri dan keluarga kepada kenaikan ini. Terdapat juga pihak yang menuntut kerajaan membantu rakyat dengan memberikan subsidi.
Walau bagaimanapun mengubah cara hidup untuk mengurangkan penggunaan tenaga adalah satu pilihan bukan sahaja akibat kenaikan harga bahan api tetapi agar kehidupan kita menjadi lebih mesra alam. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan penggunaan bahan api dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases). Di antara langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
1. Memaksimakan penggunaan cahaya matahari. Hanya menggunakan lampu apabila benar-benar diperlukan. Memastikan langsir yang digunakan tidak menghalang cahaya semulajadi yang mengakibatkan anda terpaksa menghidupkan lampu. Anda juga boleh menggunakan langsir lutsinar yang membenarkan cahaya masuk ke dalam rumah anda tetapi orang luar tidak dapat melihat ke dalamnya dengan jelas.
2. Mencabut plag (plug) peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Menurut kajian terdapat peralatan-peralatan tersebut yang tetap menggunakan 10 hingga 20 watt tenaga elektrik walaupun dimatikan. Amalan tidak mematikan peralatan-peralatan elektrik apabila tidak digunakan juga perlu dihentikan.
3. Tidak menggunakan penghawa dingin (air condition) secara berlebihan. Pilih suhu yang dapat memberi keselesaan bukan yang terlalu dingin. Terdapat pejabat-pejabat di mana mereka yang bekerja terpaksa memakai baju sejuk (sweater) atau kot kerana suhu penghawa dingin adalah terlalu rendah. Ini tidak sepatutnya berlaku.
4. Memastikan tekanan tayar kenderaan anda adalah seperti yang syorkan oleh pengeluar kenderaan itu. Jika tidak, pemanduan anda menjadi tidak efisien dan akan menggunakan lebih banyak bahan api dari yang sepatutnya. Ini bukan sahaja satu pembaziran tetapi melepaskan lebih banyak gas-gas rumah hijau.
5. Gunakan peralatan elektrik yang menggunakan tenaga yang rendah. Contohnya apabila memilih penghawa dingin, pilih jenis ‘inverter’ yang dapat menghadkan penggunaan tenaga elektrik. Berbanding dengan jenis ‘non-inverter’ yang boleh menyebabkan penggunaan tenaga elektrik secara berlebihan. Justeru anda akan dapat menjimatkan bil elektrik. Begitu juga jika anda menggunakan lampu LED. Walaupun harganya adalah lebih mahal tetapi hayat (lifespan) lampu LED seperti mentol adalah lebih panjang.
6. Hanya menggunakan peralatan elektrik apabila perlu. Kadang-kala kita menggunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner) walaupun kita boleh menggunakan penyapu atau berus. Atau kita menggunakan pengisar elektrik (blender) apabila kita boleh menggunakan lesung atau penggiling. Ada yang menggunakan pengering (dryer) walaupun ketika cuaca panas. Gunakan tenaga elektrik hanya apabila perlu.
7. Jika anda membina rumah baharu atau membuat ‘renovation’, pastikan rekabentuknya membolehkan anda dan keluarga anda hidup secara semulajadi. Banyak bangunan yang dibina hari ini tidak dapat berfungsi dengan baik jika terputus bekalan elektrik. Akibat dari rekabentuk dan kedudukan tingkap-tingkap, tidak ada pengudaraan atau pencahayaan tanpa lampu elektrik, penghawa dingin atau kipas angin. Ini berbeza dari rumah-rumah tradisional yang terus selesa tanpa bantuan peralatan moden. Nenek moyang kita memahami alam semulajadi dan tahu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian mereka. Peredaran udara berlaku yang menyejukkan penghuni walaupun tanpa penghawa dingin atau kipas elektrik.
8. Mengurangkan penggunaan kenderaan. Tidak semestinya anda menaiki kenderaan awam ke tempat kerja tetapi menggunakannya atau berjalan kaki apabila anda tidak dalam tergesa-gesa. Contohnya di dalam kejiranan anda seperti untuk ke kedai berhampiran, taman, rumah jiran, masjid atau surau. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau tetapi baik untuk kesihatan anda. Berbasikal juga adalah satu alternatif yang baik untuk kesihatan anda. Manusia agak pelik kerana mereka menaiki kenderaan ke mana-mana tetapi perlu berjoging atau pergi ke gym untuk mengeluarkan peluh.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
2 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 2/8/2022