Di mana kekuatan institusi pondok?

- Advertisement -

KITA sering bercakap dan membicarakan institusi pondok yang sekian lama wujud di negara kita. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong). 

Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Pondok melalui perjalanan sejarah yang panjang berdepan dengan berbagai reaksi zaman dan kelompok manusia. Keragaman sikap masyarakat terhadap institusi ini tidak pernah melemahkan pondok untuk terus menapak sehingga hari ini. 

Antara cabaran yang didepani oleh institusi pendidikan tertua ini ialah:

1. Budaya khurafat dan adat-adat yang mempengaruhi kehidupan masyarakat khususnya ketika orang-orang Melayu berada di bawah Kerajaan Hindu Buddha. Budaya dan adat itu terus diamalkan selepas mereka menerima Islam.

Dengan itu wujudlah sebuah masyarakat Muslim yang mencampurkan antara ajaran Islam dan kepercayaan khurafat yang diwarisi dari pengaruh-pengaruh asing sebelumnya. 

Kehadiran tok-tok guru pondok bukan sahaja berjaya memperluaskan perkembangan Islam bahkan meluruskan kehidupan masyarakat kepada akidah, kepercayaan dan budaya hidup yang bersih dari sebarang kesesatan dan kekeliruan.

2. Kemasukan penjajah terutamanya Inggeris sejak abad ke 18 dan 19 sehinggalah ke abad 20 telah menjadi cabaran besar kepada institusi pondok. Kehadiran penjajah yang bukan sahaja menjarah hasil mahsul Tanah melayu tetapi sekali gus membawa misi Perang Salib yang belum selesai ke atas umat Islam. 

Kehadiran haram mereka telah disambut oleh tok-tok guru pondok dengan penentangan yang berani dan nekad. Penjajah memperkenalkan dualisma dalam pendidikan negara. Dibangunkan sekolah Inggeris (dengan bantuan penuh Kerajaan British dan pelajar lepasan ini diberikan kedudukan dan kerjaya istimewa), sekolah kebangsaan dan sekolah aliran agama yang dikawal kurikulumnya oleh British. Institusi pondok diabaikan bahkan disisih dari sudut bantuan dan kemudahan. Malahan usaha membunuh institusi ini digerakkan secara konsisten.

3. Era selepas kepulangan penjajah, khususnya selepas kemerdekaan telah menyaksikan kerajaan Melayu Sekular terbentuk. Peralihan kerajaan dan pemerintah baru ini tidak banyak perubahannya dalam melayani institusi pondok. 

Sebagai anak didik penjajah kerajaan Sekular ini tetap menganggap institusi pondok sebagai ancaman atau sekurang-kurangnya sebagai kumpulan yang mengganggu pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Pondok yang berpegang kepada ajaran Islam bahawa politik itu sebagai sebahagian ajaran Islam dan hendaklah diurus secara syariat Islam sangat kontra dengan pegangan Sekular yang diamalkan oleh kerajaan iaitu politik suku agama suku atau matlamat menghalalkan cara. 

Justeru itu pondok harus disisih secara halus. Dengan cara tidak diberikan bantuan oleh kerajaan dan imej tok-tok guru pondok serta madrasahnya dihitamkan. Agar keterbelakangan pondok dari sudut prasarananya serta imej buruknya dapat menjauhkan masyarakat dari terus memberikan sokongan kepada pondok.

4. Era Islamisasi negara. Apabila berlakunya gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia dan gerakan Islam semakin mendapat sambutan, maka tiada pilihan bagi mana-mana kerajaan Sekular di dunia selain mengambil sikap sedikit berlunak dengan Islam.

Maka ditubuhkan institusi-institusi berlogokan Islam namun masih bernafas dengan agenda Sekular. Tok-tok guru pondok dijinakkan untuk kepentingan pemerintah Sekular. Paling tidak mereka tidak menjadi pengkritik tegar kepada dasar-dasar kerajaan yang bercanggah dengan agama. 

Pondok boleh bergerak ke hadapan namun tidak boleh dibiarkan melepasi garis merah panel T yang ditetapkan. Tok-tok guru hanya diangkat sebagai imam, pembaca doa dan acara-acara agama yang rasmi sahaja. Bajet bantuan kewangan diluluskan jauh lebih kecil dari sekolah-sekolah kerajaan bahkan lebih kecil dari bantuan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Dari jumlah yang sedikit itulah akan dibahagi-bahagikan di kalangan pondok-pondok yang ada di negara ini.

Layanan terhadap institusi ini tidak banyak berubah sejak dahulu walaupun sudah bertambah baik. Ini mungkin disebabkan sikap prajudis terhadap pondok masih pekat melekat dalam kepala sebahagian besar pemimpin-pemimpin politik yang ada. Dalam masa yang sama jika ada peluang memburukkan pondok dan ulamak-ulamaknya maka segera dipublishkan agar institusi ini tidak bersinar pada mata masyarakat.

Perasaan tidak senang terhadap pondok bukan sahaja datang dari ahli politik Sekular bahkan sesetengah ahli agama yang tidak lahir dari pondok turut bersikap demikian. Walaupun ulamak pondok diraikan hanyalah sekadar untuk mendapat milleage politik atau pengaruh. 

Khususnya di negeri-negeri yang kuat agama, maka ulamak-ulamaknya perlu didekati. Namun garis merah tidak boleh dilepasi. Keadaan ini semakin ketara saat hampir dengan PRU atau PRK.

Pada perenggan ini saya mahu mengajak kita melihat di mana kekuatan institusi pondok walaupun terpaksa mengharungi era-era yang tidak pernah berpihak secara jujur kepada pondok? Namun pondok mampu terus melangkah dan bertapak serta bertakhta di hati masyarakat.

Ada orang kata kekuatan pondok ialah ilmu tok-tok gurunya. Ada yang kata kekuatannya ialah manhaj Thurathnya, atau sistem halakatnya. Ada pula yang kata kekuatannya ialah sokongan masyarat setempat. 

Saya tidak menafikan semua itu adalah daya penguat kepada institusi ini. Namun itu hanyalah akar-akar rambut kepada pohon institusi ini. Pada saya kekuatan sebenar pondok terletak kepada sosok tok gurunya. Tok gurulah yang menjadi akar tunjang yang menjadikan institusi ini tak tergoyah oleh landaan badai zaman dan kerenah manusia di sekelilingnya.

Saya sebutkan kekuatan sosok tubuh tok guru bukan pada ilmunya semata. Tetapi yang paling besar ialah keikhlasan dan tawakalnya. Nawaitu mereka membuka pondok setulus kapas yang putih bersih. 

Tawakal mereka sekukuh gunung yang memasak bumi. Keikhlasan bukan sahaja dapat mengalahkan fitnah manusia bahkan dapat mengalahkan syaitan. Tawakal bukan sahaja menarik pertolongan Allah bahkan membuatkan syaitan dan Kafirin berputus asa.

Tok guru buka pondok dengan niat mendidik manusia mengenali Allah dan beribadah kepada-Nya, menjadi manusia berilmu dan soleh. Mereka tak pernah kisah pasal luas sempit tapak pondok. Cukup ada bangsal kediaman, boleh bangunkan surau dan dua tiga buah pondok kecil pelajar pun sudah cukup. 

Mereka tak utamakan prasarana, mereka tak ada niat nak dapat gaji. Bahkan jika ada lebihan harta mereka, itulah digunakan untuk menghidupkan pondok. Mereka tak pernah bergantung kepada bajet dan bantuan kerajaan. 

Kalau diberi hak mereka, mereka ambil. Kalau tidak ada, mereka tak mengemis sehingga menjilat-jilat kaki penguasa. Mereka tawakal sepenuhnya kepada Allah, dan Allah membantu mereka. Tugas mereka dilaksanakan semata-mata kerana Allah. Orang boleh datang hulurkan pertolongan tetapi tidak boleh membeli jiwa raga mereka.

Kekuatan ini perlu diwarisi. Ilmu boleh kita ambil dari tok guru, akhlak boleh kita contohi. Kitab klasik boleh kita baca dan dhobit, namun belum tentu kita mampu sejujur dan sekuat tawakal mereka. 

Oleh itu kepada sesiapa yang berhasrat murni membuka pondok pastikan anda seikhlasnya untuk Allah dan Rasul bukan untuk membeli habuan dunia. 

USTAZ MOKHTAR SENIK 
Insan kerdil di hadapan skrin besar perjalanan pondok – HARAKAHDAILY 2/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -