Belia aset strategik negara

- Advertisement -

Oleh TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

DI pagi Tahun Baharu 1444 Hijrah ini, saya berada di Kuala Terengganu bagi sesi dialog bersama belia anjuran Majlis Pemulihan Negara, Institut Masa Depan Malaysia dan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera.

Dialog yang melibatkan pimpinan dan akar umbi belia negeri Terengganu turut dihadiri YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa serta YBhg Tan Sri Sulaiman Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara.

Saya yakin dan percaya, belia merupakan aset strategik negara yang perlu dijadikan pemangkin kepada proses pemulihan negara pasca pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Sesi dialog ini merupakan antara siri jelajah libat urus anjuran MPN seperti yang pernah diadakan di Langkawi, Melaka, Johor Baharu dan Kota Bharu sebelum ini.

Ini juga merupakan sesi dialog kedua bersama belia yang telah saya hadiri bagi mendapat input dan mendengar pandangan dari golongan belia yang merupakan kumpulan sasar yang penting untuk disantuni bagi memastikan usaha pemulihan negara sentiasa bersifat inklusif.

Sememangnya kesan pandemik Covid-19 masih dapat dirasa walaupun sudah lebih dua tahun sejak virus ini melanda seluruh dunia.

Sepanjang pandemik Covid-19, banyak bantuan yang telah disalurkan kepada rakyat yang turut dimanfaatkan golongan belia.

Dari yang menerima bantuan  tunai dan subsidi upah daripada Kerajaan Persekutuan, ke program spesifik untuk menangani pengagguran di kalangan belia seperti MyStep yang telah berjaya menempatkan pekerjaan untuk 33,000 orang belia di seluruh negara serta program-program upskilling dan reskilling untuk menambah nilai untuk memudahkan golongan belia mencari pekerjaan, banyak yang telah diusahakan kerajaan untuk memastikan golongan belia tidak tercicir dalam arus pembangunan sosio-ekonomi dan pemulihan.

Alhamdulillah berkat usaha-usaha ini, kadar pengangguran di Malaysia termasuk di Terengganu telah menunjukkan penurunan.

Kadar pengangguran di Terengganu pada tahun 2021 adalah 4.0 peratus, turun berbanding 4.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Untuk kadar pengangguran golongan belia di seluruh negara, 5.3 peratus untuk suku pertama tahun 2022 berbanding 5.9 peratus pada tempoh yang sama pada tahun 2021.

Namun begitu, mendengar maklumbalas langsung daripada golongan belia dalam sesi-sesi dialog seperti pagi ini, lebih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh Kerajaan untuk memastikan golongan belia tidak menjadi generasi yang tertinggal atau a lost generation akibat pandemik.

Ramai belia yang risau dan gusar dengan prospek ekonomi negara dan halatuju negara terutamanya tentang peluang pekerjaan dan isu paras gaji yang rendah berbanding kos sara hidup yang tinggi.

Ekonomi digital perlu diperkasa untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, inovasi perlu terus digalakkan supaya teknologi boleh terus diaplikasikan dan produktiviti terus meningkat.

Apabila produktiviti meningkat, paras gaji akan dapat terus meningkat dan nilai pendapatan yang lebih bermakna dapat dijana.

Mindset generasi belia juga perlu berubah. Pekerjaan yang baik bukan sahaja ditawarkan oleh sektor seperti pembuatan dan perkhidmatan, tetapi juga sektor seperti pertanian yang amat memerlukan penglibatan generasi belia untuk dibangunkan menjadi sektor strategik untuk memastikan kemampanan ekonomi negara di masa hadapan.

Saya berharap golongan belia terus memainkan peranan sebagai pemangkin pemulihan negara. Bangkitkan semangat untuk terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti sekalipun! – HARAKAHDAILY 30/7/2022

- Advertisement -