Malaysia komited lindungi harimau Malaya

- Advertisement -

HARI Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun oleh negara-negara Tiger Range Countries (TRC) termasuk Malaysia sejak tahun 2010. Ia merupakan acara tahunan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau.

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni adalah spesies ikonik Malaysia yang menjadi simbol Jata Negara. Ia melambangkan kekuatan, keberanian, integriti dan perpaduan nasional. Namun, Harimau Malaya diancam kepupusan dan data terkini menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan iaitu kurang daripada 150 ekor.

Dengan jumlah populasi ini, Red List of International Union for Conservation of Nature (IUCN) telah mengkategorikan spesies Harimau Malaya sebagai ‘critically endangered’ iaitu spesies yang akan pupus dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang sekiranya tindakan luar biasa (extraordinary actions) tidak diambil sekarang. 

Kepupusan Harimau Caspian, Bali dan Java perlu dijadikan iktibar agar tidak berlaku kepada Harimau Malaya kita. Sama ada sedar atau tidak, manusia menjadi antara penyebab kepada kepupusan Harimau Malaya. Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan antaranya kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah. Selain itu, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap.

Kerajaan memandang serius krisis yang sedang kita hadapi dan komited dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di negara ini. Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju dengan sembilan (9) tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030.

Antaranya ialah menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri bagi menunjukkan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.

Mesyuarat Pertama MyTTF yang diadakan pada 10 Januari 2022 antaranya telah bersetuju untuk menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground), mengukuhkan habitat semula jadi Harimau Malaya melalui pengurusan guna tanah yang mampan serta memperkasakan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Tindakan-tindakan drastik yang telah dilaksanakan serta lapan (8) pencapaian utama setakat ini ialah:

(i) Seramai 839 orang renjer hidupan liar yang melibatkan 254 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), 464 komuniti Orang Asli dan 121 komuniti setempat telah dilantik pada tahun 2022 bagi mengukuhkan boots on the ground melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3);

(ii) Sebanyak 6 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) telah dilaksanakan pada tahun 2022 melibatkan kerjasama Jabatan PERHILITAN, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan badan bukan kerajaan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar;

(iii) Seramai 13 anggota Pasukan Taktikal Khas Konflik Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN atau dikenali sebagai Special Protected Area Response Team (SPARTA) telah mendapat pentauliahan. Program latihan dan latihan dalam operasi bersama PDRM juga telah dilaksanakan bagi meningkatkan kepakaran SPARTA;

(iv) Penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) di bawah PDRM dan Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) serta pengukuhan Wildlife Crime Unit (WCU) di bawah Jabatan PERHILITAN telah dibentangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2 Jun 2022 dan secara dasarnya telah dipersetujui;

(v) Sebanyak lima (5) kerjasama strategik untuk mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (MFHLK) sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya telah dilaksanakan dengan universiti awam dan swasta serta TRACE Wildlife Forensic Network;

(vi) Pusat Konservasi Harimau Malaya (Malayan Tiger Conservation Centre – MTCC) di Lanchang, Pahang telah mula beroperasi pada 1 Februari 2022 bagi menjalankan program pembiakan Harimau Malaya. Sebanyak 5 ekor Harimau Malaya telah ditempatkan di MTCC dan sedang menjalani program conditioning untuk membiasakan dengan situasi di habitat semula jadi;

(vii) Insentif kewangan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri melalui Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menggalakkan Kerajaan-kerajaan Negeri mewartakan kawasan perlindungan (protected areas) termasuk habitat utama Harimau Malaya telah diperkukuhkan dengan tambahan peruntukan EFT sebanyak RM30 juta menjadikan keseluruhan peruntukan EFT sebanyak RM100 juta. Insentif tambahan ini telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada 26 April 2022; dan

(viii) Pengurusan habitat Harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum, Perak sedang dipertingkatkan melalui pendaftaran skim akreditasi di bawah program Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS).

Selari dengan tema Sambutan Hari Harimau Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan iaitu ‘mengukuhkan kerjasama demi masa depan Harimau Malaya’, semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan diseru berganding bahu bagi melindungi dan memulihara Harimau Malaya. Saya percaya penglibatan kolektif semua pihak akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan usaha-usaha konservasi Harimau Malaya. 

Biodiversiti adalah kehidupan kita, warisan kita dan masa depan kita. Selamat menyambut Hari Harimau Sedunia 2022!

YB DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Tenaga dan Sumber Asli – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -