Empangan dibina di kaki Gunung Inas perlahan aliran air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Dua Empangan Sabo akan dibina di kaki Gunung Inas bagi membantu dan mengelak kemusnahan besar di kawasan terbabit seperti tragedi 4 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan empangan itu melibatkan kos kira-kira RM40 juta.

- Advertisement -

Katanya, empangan tersebut akan berfungsi memperlahankan aliran air dan menyekat kayu serta batu daripada dibawa arus deras ke penempatan penduduk.

“Empangan Sabo di kaki Gunung Inas akan diselenggara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sama seperti di kaki Gunung Jerai, Yan.

“Keadaan itu akan membantu mengelak kemusnahan besar seperti yang berlaku pada kejadian kepala air Kampung Iboi, hampir sebulan lalu,” katanya seperti dilapor sebuah akhbar hari ini.

Menurutnya juga kerja-kerja mendalam dan meluruskan sungai sedang giat dilakukan JPS termasuk usaha mengukuhkan tebing sungai.

Selain itu kaki gunung terbabit juga akan dilengkapi dengan sistem amaran awal (siren) yang akan dipasang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Menteri Besar juga berkata, Jawatankuasa Keselamatan Negeri akan mengambil tindakan secara holistik dan bersepadu membabitkan semua agensi termasuk laporan awal diterima daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Kejadian aliran puing 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa serta memusnahkan 17 kediaman, selain menjejaskan ratusan rumah penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

- Advertisement -