Situasi semasa jangkitan saluran pernafasan di Perak

- Advertisement -

SEHINGGA 21 Julai 2022, sebanyak 48 kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan di Negeri Perak telah dilaporkan.

Daripada jumlah tersebut, sekolah menengah melaporkan kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan yang tertinggi iaitu sebanyak 40 wabak jangkitan (83.3 peratus).

Ini diikuti oleh masing-masing satu wabak di sekolah rendah, pra sekolah, pondok pengajian agama, dan pusat latihan perindustrian, serta empat wabak lagi berlaku di lain-lain lokaliti (8.3 peratus).

Sehingga 21 Julai 2022, sebanyak 44 wabak telah tamat. Manakala, empat wabak jangkitan saluran pernafasan di sekolah menengah masih aktif.

Tiada kematian berkaitan wabak jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan.

Sebagai langkah-langkah pencegahan jangkitan saluran pernafasan, JKN Perak ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa:

1. Amalkan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;

2. Memakai penutup muka (face mask) apabila berada di tempat awam yang tertutup;

3. Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala, atau sapu tangan apabila batuk atau bersin;

4. Jika bergejala, berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai; dan

5. Jika gejala bertambah teruk, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

JKN Perak akan terus memantau situasi dan trend kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan di Perak, serta bekerjasama dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya.

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -