Iktibar agung surah al-Isra’ (6)

- Advertisement -

DALAM perbincangan yang lepas, diceritakan mengenai kisah umat-umat terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah S.W.T. Contoh, peristiwa banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S, selepas kedatangan Baginda dan sehingga zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Turut dinyatakan bahawa bagi sesiapa yang menginginkan kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia, Allah S.W.T akan mengurniakannya namun azab atau neraka Jahanam akan disediakan untuknya di akhirat.

Sebaliknya bagi sesiapa yang menginginkan kebahagiaan akhirat, Allah S.W.T juga akan mengurniakannya dan dia bakal memperoleh kedudukan yang mulia di sisi-Nya. Allah S.W.T dengan sifat kasih sayang dan ihsan-Nya akan mengurniakan segalanya kepada orang yang mencari habuan dunia atau kebahagiaan akhirat mengikut kehendak-Nya: 

- Advertisement -

ٱنظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَٰتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا

“Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.”

(al-Israk: 21)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menarik perhatian kita kepada orang-orang yang diberikan kelebihan di dunia dan juga di akhirat. Dalam hidup, rezeki masing-masing adalah tidak serupa. Ada yang hidupnya mudah dan rezekinya luas. Ada juga yang hidupnya susah dan rezekinya sempit. Jika nak dibandingkan antara orang yang beriman dengan tidak beriman, didapati bahawa kehidupan orang yang tidak beriman lebih senang daripada orang yang beriman. 

Hal ini turut dijelaskan dalam ayat ke-165 dalam Surah Al-An’am. Tujuan Allah S.W.T menjadikan rezeki sesama kita itu tidak sama adalah untuk menguji kesabaran kita. Jika kita memperoleh rezeki yang banyak, Allah S.W.T juga melihat sama ada kita mampu sabar atau tidak. Maksudnya bagaimana cara kita menggunakan rezeki tersebut, adakah mengikut jalan yang betul atau tidak? Contohnya, adakah kita mengeluarkan zakat? 

Jika rezeki kita sempit, Allah S.W.T ingin menguji sama ada kita boleh bersabar atau tidak? Adakah kita mampu redha atau tidak? Redha merupakan salah satu ciri orang yang bertaqwa. Menurut Sayyidina ‘Ali R.A, ada empat sifat taqwa yang dijelaskannya. Sayyidina ‘Ali Karromallohu Wajhah berkata [1]:

اَلتَّقْوَى: الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والقناعة بالقليل والإستعداد ليوم الرحيل

“Bahawa Takwa adalah takut kepada Allah yang bersifat Jalal, dan beramal dengan dasar Al-Quran (At Tanjil), dan menerima (Qona’ah) terhadap yang sedikit dan bersiap-siap menghadapi hari akhir (hari perpindahan).”

Salah satunya ialah berasa lebih takut dengan Allah S.W.T berbanding makhluk. Ada seorang tabi’in (orang yang sempat bertemu dengan Sahabat namun tidak sempat bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W) yang masyhur, namanya Sa’id bin Jubayr. Beliau ialah seorang yang hebat dan boleh berdepan dengan Hajjaj bin Yusuf Ats-Thaqafi yang merupakan seorang panglima perang Muawiyah yang sangat ditakuti apabila disebut namanya. Namun ketika Hajjaj pergi ke Madinah, Sa’id tidak tunduk kepadanya. Akhirnya, Sa’id dihukum bunuh dengan cara disembelih. Dihamparkan belulang kambing dan diletaknya Sa’id di atas belulang itu. Apa yang mengejutkan adalah banyak darahnya tersembur keluar ketika beliau disembelih. Ada yang memberitahu bahawa Sa’id tidak berasa takut apabila beliau ingin dibunuh. Malah beliau sempat mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum dibunuh. Inilah kehebatan ulamak pada zaman dahulu. Takutnya hanya kepada Allah S.W.T. 

Definisi kedua taqwa yang dijelaskan oleh Sayyidina ‘Ali adalah beramal dengan wahyu Allah S.W.T. Ia merangkumi al-Quran dan juga Sunnah. ‘Tanzil’ merujuk kepada al-Quran yang diturunkan dari langit melalui malaikat Jibril seterusnya kepada Nabi Muhammad S.A.W. 

Definisi ketiga taqwa pula adalah redha dengan sesuatu yang sedikit. Kita ingin banyak tetapi Allah S.W.T cuma memberikan sedikit. Orang yang beriman akan redha dengan hasil yang sedikit yang diperolehinya walaupun sudah berusaha dengan bermacam-macam cara. Contoh, memelihara ikan di dalam sangkar dengan berhabis modal sebanyak 1,000 benih namun semuanya musnah akibat banjir. 

Taqwa juga dengan erti makna lain adalah bersiap sedia. Contoh, kita ingin berangkat ke Kuala Lumpur, kita telah bersiap menyediakan pakaian, alatan mandi dan sebagainya dan memasukkan segalanya ke dalam beg. Ada yang sudah bersiap dalam tempoh seminggu awal sebelum perjalanan. Dalam konteks ini, kita perlu bersiap sedia untuk berangkat pergi meninggalkan dunia dan menuju ke alam kubur. 

Begitulah perbezaan kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Orang yang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga. Syurga mempunyai beberapa tingkatan dan yang paling tinggi ialah syurga Firdaus. Jadi, berdoalah kepada Allah S.W.T dengan meminta syurga Firdaus seperti yang telah dipesan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Begitu juga dengan neraka yang juga mempunyai beberapa tingkatan. Neraka yang paling bawah ialah neraka Jahanam. Itulah gambaran yang ditunjukkan kepada kita di akhirat yang membuktikan kebesaran-Nya dalam membuat tingkatan ganjaran mengikut amal perbuatan kita:

لَّا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَّخْذُولًا

“Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.”

(al-Israk: 22)

Allah S.W.T. melarang kita daripada mensyirikkan-Nya yang bermaksud mengadakan Tuhan selain-Nya. Dosa yang paling besar atas dunia ialah dosa syirik. Zina, minum arak dan judi termasuk dalam kategori dosa-dosa besar namun dosa syirik adalah lebih besar berbanding kedua-duanya. Hal ini kerana dosa syirik akan merosakkan aqidah dan iman. Asas kepada aqidah ialah tauhid iaitu mengesakan Allah S.W.T. Apabila kita mensyirikkan-Nya, kita menganggap Tuhan ada banyak seperti yang dinyatakan dalam agama Kristian, Majusi, Cina dan Hindu. Ulamak telah bersepakat bahawa dosa syirik tidak akan diampunkan oleh-Nya. Segala amal yang dilakukan oleh orang beriman yang melakukan syirik hanyalah sia-sia. Antara amalan syirik yang ditegah oleh ulamak ialah ramalan astrologi atau ahli nujum. 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(al-Israk: 23)

Allah S.W.T melarang kita untuk menyembah selain daripada-Nya. Berhati-hatilah kita daripada syirik atau percaya kepada azimat yang boleh menyebabkan kita bergantung kepada makhluk. Perintah seterusnya ialah berkait dengan berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita. Jika nak melarang mereka, laranglah dengan cara yang baik. Jangan bercakap kasar dengan mereka. Jangan berkata ‘uhh’ apatah lagi menjerkah, menengking dan memukul mereka. 

Menurut ulamak, antara sebab kenapa kita perlu berbuat baik kepada mereka adalah disebabkan merekalah yang menjadi punca adanya kita. Dengan kehendak-Nya, yang tiada bapa hanya Nabi Isa A.S dan yang tiada ibu pula hanya Nabi Adam A.S. Selain daripada itu, semua anak memiliki ibu dan bapa, bapa pula sama ada ‘register’ atau tidak sahaja. Berkemungkinan ibu dan bapa kita kurang cerdik daripada kita, tidak pandai menulis, lemah pendengaran, kurang memahami dan sebagainya. Namun, penghormatan terhadap mereka tetap harus dipelihara.

Banyak berlaku dalam sejarah, kejayaan ulamak yang hebat adalah berpunca daripada berkat doa ibu dan bapa mereka. Contoh Imam Syafie, ayahnya telah meninggal dunia dan beliau dipelihara oleh ibunya sejak kecil. Beliau boleh menghafal al-Quran sewaktu berusia lebih kurang lima tahun. Ibunya tidak membenarkan beliau untuk makan sesuka hati. Ibunya sangat teliti dalam bab makan minum, berkawan dan mendidiknya dengan amat baik. Oleh itu, beliau lahir sebagai seorang yang sangat hebat.

Seorang lagi tokoh hebat yang boleh kita contohi, iaitu Ali Zainal Abidin. Beliau tinggal di Makkah. Beliau berbakti kepada ibunya yang sudah pun berusia sehingga tahap beliau tidak makan sekali bersama ibunya. Beliau menghidangkan makanan dan menyuruh ibunya makan terlebih dahulu. Setelah ibunya selesai makan, barulah beliau makan.

Pada suatu ketika, beliau ditanya akan sebab bagi tindakannya itu. Beliau memberitahu bahawa beliau berasa takut untuk makan sekali bersama ibunya kerana bimbang akan derhaka. Semasa makan, dibimbangi ketika ibunya ingin mengambil lauk, beliau sudah pun mengambilnya. Beliau pun tidak tahu apa isi hati ibunya. Jadi, beliau bimbang ibunya akan berkecil hati dengannya. Jauh bezanya sikap seorang ulamak dengan kita. Barangkali kita akan makan terlebih dahulu dan meninggalkan lebihan makanan kepada ibu kita kerana ibu kita sudah tidak boleh makan dalam kuantiti yang banyak [2]. 

Antara sebab keberkatan hidup adalah menghormati ibu bapa terutamanya ibu. Kedudukan seorang ibu lebih utama daripada bapa berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

“Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.

(Riwayat Muslim (2548))

Keutamaan penghormatan kepada ibu adalah tiga kali ganda berbanding bapa. Dalam Islam, jika ibu dan bapa memanggil kita secara serentak, yang mana perlu kita pergi kepadanya? Mungkin kita akan pergi kepada bapa sebab jika tidak kita akan mendapat penampar. Kata ulamak, pergilah kepada ibu kita sebab kelebihan itu ada pada ibu. Jadi, sebagai bapa haruslah memahami akan hal ini.

Seorang ibu yang telah mengandungkan anaknya selama sembilan bulan menghadapi bermacam-macam ujian. Contoh, muntah berterusan, mengidam itu ini dan sebagainya. Ujian seterusnya yang dihadapi oleh seorang ibu adalah ketika melahirkan anak, dia bertarung nyawa antara hidup atau mati. Oleh sebab itu, mati melahirkan anak adalah mati syahid dunia [3].

Setelah melahirkan, tanggungjawab menjaga anak lebih berat pada ibu. Dia sanggup tidak tidur semalaman dan berjaga sehingga waktu pagi kerana bimbang anak menangis. Dia juga tidak berasa marah, malah sempat bergurau apabila anaknya membuang air kecil dan besar di atas ribanya. Inilah kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada seorang ibu kerana banyak pengorbanan yang ditanggungnya yang tidak ditanggung oleh seorang bapa. Seorang suami pula disarankan untuk menghormati isterinya. Ada yang mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana telah melahirkan anak untuknya. 

Nak berkata lebih-lebih kepada ibu bapa kita tidak dibenarkan dalam Islam. Apatah lagi nak memukul sehingga tahap membunuh. Inilah yang berlaku pada akhir zaman. Na’uzubillahi min zalik. Jasa ibu kita tidak mampu kita balas walaupun berbuat baik kepadanya dengan apa cara sekalipun contohnya, memberikan wang, memberi pakaian, menyuap nasi dan sebagainya. Kata ulamak, jika kita tetap ingin membalas jasanya, ambillah dia, masukkan ke dalam kandungan kita dan lahirkanlah dia semula, barulah boleh membalas jasa mereka itu. Mustahil untuk dilakukan hal sedemikian. 

Oleh sebab itu, Nabi Muhammad S.A.W juga ada menyebut bahawa syurga adalah di bawah telapak kaki ibu [4]. Maksudnya, di bawah keredaannya atau keizinannya. Jika dia berasa marah dengan kita, ketahuilah kita sedang berada dalam masalah walaupun ia bukan salah kita. 

Kisah Juraij yang merupakan seorang wali Allah pada zaman Bani Israel patut kita teladani [5]. Beliau tinggal di kawasan pedalaman dan seorang yang ‘alim lagi dihormati. Pada suatu hari, ibunya datang dari jauh (ibunya tinggal di kawasan kampung) ke rumahnya untuk bertemu dengannya. Ibunya memanggilnya namun tiada sahutan. Pada ketika itu, beliau sedang menunaikan solat. Setelah memanggil berkali-kali namun tiada sahutan, ibunya berasa kecil hati lalu beredar pulang dengan berdoa agar Juraij diuji.

Setelah selesai menunaikan solat, Juraij keluar dan mendapati ibunya sudah pulang. Beliau termenung dan berasa bimbang dengan kesilapan yang dilakukannya. Tidak lama selepas itu, ada seorang pelacur yang sedang sarat ingin melahirkan anak dan singgah di jemuran rumahnya. Beliau tidak sampai hati untuk mengusir pelacur itu lalu membiarkannya berada di jemuran sahaja, tidak masuk ke dalam rumah. Kemudian, pelacur itu pun melahirkan anak. Hal ini menjadi buah mulut orang kampung. 

Dengan takdir-Nya, pelacur itu menyatakan bahawa bapa kepada anaknya ialah Juraij dan memberitahu bahawa Juraij tidak mahu bertanggungjawab. Juraij tidak berjaya meyakinkan orang kampung walaupun penafian telah dibuat olehnya berkali-kali. Kemudian, beliau teringat yang berkemungkinan hal itu berlaku akibat doa ibunya. Beliau sudah mati akal bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana kalau hendak memanggil ibunya, ibunya pula tinggal sangat jauh. 

Lalu, beliau menunaikan solat hajat dan memohon agar dibuang segala tuduhan terhadapnya. Diberikan kepadanya ilham untuk bertanya sendiri kepada anak pelacur itu bagi membuktikan siapa sebenarnya Juraij. Adakah benar Juraij ialah bapa kepadanya atau ibunya iaitu pelacur itu ialah seorang pembohong? Namun anak itu masih kecil (bayi), jadi mustahil untuk dia dapat berkata-kata. Walau bagaimanapun, hanya itu saja ikhtiar yang dapat dilakukan olehnya. Lalu ditanya kepada bayi itu, bayi itu menjawab bahawa Juraij adalah bukan bapa kandungnya. Maka, pecahlah rahsia. Seorang lagi bayi yang dapat berkata-kata ialah Nabi Isa A.S. semasa masih dalam buaian. Baginda menjawab pertuduhan yang mengatakan bahawa ibunya; Maryam berzina dan melahirkan anak haram.

Apa yang penting dalam kisah ini adalah mengenai kecil hati seorang ibu. Apabila ibu berkecil hati, bala akan turun kepada kita. Selagi ibu kita masih hidup, sama-samalah kita usaha untuk memperbetulkan kesilapan kita yang dahulu dan sentiasa meminta maaf dengannya serta minta dia memaafkan kita.

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.””

(al-Israk: 24)

Kita disarankan untuk berbuat baik kepada ibu bapa yang masih hidup dan berdoa kepada mereka jika mereka sudah meninggal dunia dengan satu doa yang berbunyi:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَاب

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Jika kita dimarahi oleh ibu bapa, ketahuilah bahawa marah mereka tanda sayang. Namun, kebanyakan ibu bapa kini tidak bertegas dengan anak-anak sehingga akhlak anak-anak menjadi rosak. Kadang-kadang kita terikut dengan budaya Barat seperti tidak boleh marah, cubit dan pukul. Dalam Islam, bukan tidak boleh marah anak langsung tetapi bergantung pada keadaan. 

Ada situasi yang membolehkan ibu bapa untuk menghukum anak seperti anak yang tidak menunaikan solat. Sewaktu usia anak tujuh tahun, dia sudah perlu dididik untuk menunaikan solat. Namun, apabila masuk usia 10 tahun, dia masih belum menunaikan solat, dia harus dirotan (rotan dengan kasih sayang dan tidak mencederakan). Latihlah juga anak yang masih kecil dengan membawanya ke masjid sambil mendidiknya dengan akhlak yang baik supaya tidak mengganggu jemaah. 

Allah S.W.T Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati kita. Takut tersalah simpan perasaan tidak puas hati dengan ibu bapa. Maklumlah kita dan ibu bapa kita juga ialah manusia dan apabila mereka sudah berusia, mereka menjadi lebih sensitif dan sangat mudah terasa hati. Orang tua ada yang mudah merajuk apatah lagi apabila mereka jatuh sakit. Jika menghidap penyakit strok, amat susah untuk dijaga disebabkan oleh kerenahnya dan mudah sensitif. 

Begitu juga dengan orang tua yang lemah ingatannya. Kadang-kadang dia kata dia belum makan sebab anak tidak mengambil peduli. Tetapi sebenarnya dia lupa yang dia sudah dijamu makan oleh anaknya. Di negara Barat, lesen kenderaan ditarik apabila usia telah mencecah 70 tahun kerana secara psikologinya, tenaga sudah tidak kuat dan daya ingatan pula sudah lemah.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 18 Julai 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

Rujukan:
[1]Subul al-Huda wa al-Rashad oleh al-Salihi (1/421).
[2] Wafayaat al-A’yaan oleh Ibnu Khallikan (3/235).
[3] Berdasarkan Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (3/489).
[4] Hadis Sahih riwayat Imam al-Nasa’i (3104) dengan maksud lafaznya: “Syurga itu di bawah kedua kakinya”.
[5]Kisah Juraij ini ada diriwayatkan dalam Sahih Bukhari (3436) dan Sahih Muslim (2550).

- Advertisement -