RUU AGS2021: Syukur, tahniah semua yang terlibat

Foto daripada Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan rasa syukur kerana Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (RUU AGS2021) diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Menterinya, Datuk Seri Rina Harun dan semua yang terlibat sehingga selesai rang undang-undang itu dibahas dan diluluskan.

“Alhamdulillah syukur dan tahniah kepada YB Datuk Seri Rina Mohd Harun dan semua yang terlibat sehingga selesai RUU AGS di Dewan Rakyat pada hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menerusi catatan di laman Facebook beliau, malam tadi.

RUU AGS2021 yang diluluskan itu adalah hasil usaha penggubalan dan libat urus yang dilakukan sejak 2011.

 Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) akhirnya diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

AGS 2021, yang mengandungi empat bahagian, empat bab dan 27 fasal, diharap berupaya menangani isu gangguan seksual di Malaysia yang belum memiliki undang-undang khusus berhubung gangguan itu.

Memetik laporan Bernama, Rina ketika menggulung AGS 2021 berkata, rang undang-undang itu adalah manifestasi penting dan membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan diskriminasi berasaskan gender.

Menurut, satu jawatankuasa penilaian dianggotai individu daripada kalangan wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi berkaitan akan diwujudkan bagi memantau keberkesanan rang undang-undang itu serta mengeluarkan laporan mengenainya.

Beliau memberi jaminan anggota tribunal akan dilantik daripada kalangan individu yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kepakaran dalam menangani kes gangguan seksual termasuk pegawai polis, kaunselor, pegawai kesihatan, doktor, NGO dan ahli akademik.

Menyentuh hal pengoperasian, Rina berkatat, tribunal itu, yang pada awalnya akan diwujudkan di Lembah Klang, boleh bersidang pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat mengikut keperluan bagi memudahkan masyarakat sebelum ia diperluas ke semua negeri.

Beliau berkata, pengoperasian tribunal akan mempertimbang pandangan semua pihak berkepentingan di samping memperhebat usaha pendidikan dan kesedaran kepada golongan sasar.

Katanya pembangunan dasar atau pengeluaran garis panduan berhubung pencegahan atau kesedaran tentang gangguan seksual akan dilaksana.

“Ini termasuklah menggalakkan aktiviti atau menyediakan notis berkaitan pencegahan atau kesedaran tentang gangguan seksual.

“Pemakaian notis adalah tidak bersifat menghukum tetapi lebih kepada memberi kesedaran mengenai gangguan seksual, implikasi serta cara mencegahnya,” katanya.

Sementara itu, rata-rata Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang ketika membahaskan rang undang-undang tersebut senada menzahirkan ucapan tahniah dan sokongan kepada KPWKM kerana berjaya membentangkan AGS 2021.

Antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) dan Fuziah Salleh (PH-Kuantan).

Rina dalam sidang media di Bangunan Parlimen berharap memperoleh peruntukan kewangan untuk pelaksanaan kerja-kerja awal rang undang-undang itu dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada Oktober.

Katanya peruntukan itu termasuk pembiayaan jerayawara bagi memberi pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai dan menyediakan struktur tribunal berkaitan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan rang undang-undang itu termasuk seluruh kepimpinan kementerian, agensi kerajaan dan NGO. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -