Raja Muda terharu banyak pihak bantu mangsa ribut

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Raja Muda Perlis terharu di atas sikap proaktif dan keprihatinan pelbagai pihak menyalurkan bantuan pantas kepada mangsa ribut yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas majlis serahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf di Masjid Al Rashid Kubang Perun, Mata Ayer hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya mengagihkan sumbangan secara berjadual pada Rabu, Khamis dan Jumaat lalu kepada 89 mangsa terlibat.

- Advertisement -

Katanya bantuan kewangan diberi kepada 67 penerima melalui Borang Bantuan Bencana MAIPs yang dilulus terus kepada pemohon atau mangsa.

“Mangsa ribut hendaklah merujuk kepada amil kariah masing-masing bagi mengetahui sama ada bantuan boleh dipertimbangkan pihak masjid melalui Baikpulih Mikro MAIPs Khas atau tidak.

“Penerima akan disediakan ‘Bill of quantity’ dan baikpulih untuk mengetahui sama ada bantuan boleh dipertimbangkan atau tidak,” katanya pada program tersebut.

MAIPs memberi Bantuan Baikpulih Rumah kepada 22 penerima melalui masjid yang merangkumi zon zon utara iaitu enam rumah di Oran, Baroh dan Felcra Lubuk Sireh.

Zon tengah pula melibatkan enam rumah di Kurong Batang, Abi, Batu Lima, Wang Bintong. Selain itu zon timur membabitkan 10 rumah di Kubang Perun dan Panggas.

Mohd Nazim juga berkata, Bantuan Baikpulih Penuh mengambil kira tahap kerosakan rumah mangsa ribut. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -