Sekuriti Makanan Kelantan di landasan tepat hadapi krisis global

- Advertisement -

SEBULAN dua ini, kita dihidangkan dengan berita krisis makanan dan kelaparan yang melanda dunia. 

Pelbagai pihak berautoriti dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengakui keadaan getir ini.

Malah, kita juga dipersembahkan dengan berita 6.26 juta rakyat Sri Lanka tidak mempunyai sumber bekalan makanan untuk hari-hari seterusnya. 

Berita-berita sebegini pasti merunsingkan dan membimbangkan kita semua. 

Hal yang sebaliknya terjadi di Kelantan, data yang ada menunjukkan Kelantan sudah melakukan persediaan awal untuk menjaga keselamatan makanan negeri dengan mencukupkan Kadar Sara Diri atau Self-Suffiency Level (SSL).

Self-Sufficiency Rasio (SSR) atau selalu dikenali sebagai Tahap Sara Diri (Self-Sufficiency Level, SSL) yang mencapai 100.0 peratus atau lebih menunjukkan bekalan atau pengeluaran bagi sesuatu komoditi pertanian adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik. 

Menurut Exco Pertanian Kelantan, antara bekalan sumber makanan yang telah dan hampir mencapai SSL adalah seperti berikut;

● Beras – 208 peratus 

● Kelapa – 196 peratus

● Daging Kambing/Biri-Biri – 190 peratus

● Buah-buahan – 117 peratus

● Sayur-sayuran – 98 peratus 

● Ikan – 93 peratus

Data 2020 ini menunjukkan bekalan makanan asas di Kelantan mencukupi dan sekali gus menunjukkan semakin kurang kebergantungan Kelantan kepada import.

Penumpuan Kelantan dalam bidang Pertanian adalah tindakan yang tepat, terutama apabila berhadapan dengan krisis makanan sebagaimana hari ini. 

Malah, sektor pertanian menjadi penyumbang kedua selepas sektor perkhidmatan kepada KDNK Kelantan sebanyak 22.8 peratus.

Meletakkan Kelantan di tangga kedua di Malaysia peratusan sumbangan sektor pertanian tertinggi kepada KDNK Negeri.

Kempen Bertani Satu Ibadah dan pelbagai inisiatif daripada kerajaan negeri dibantu agensi-agensi kerajaan dan swasta telah menyediakan Kelantan di landasan yang tepat bagi Sekuriti Makanan. 

Komitmen yang jelas dari Kerajaan Kelantan apabila mewujudkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar sendiri dan juga Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Kelantan dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. 

Kita berharap, Kelantan terus fokus dan bergerak ke depan dalam bidang pertanian dan seterusnya berjaya menjadi Jelapang Makanan Negara. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -