Jajaran Lebuh Raya Rakyat siap 2025

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri berusaha memastikan pelaksanaan projek lebuh raya rakyat sebahagian komponen Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat direalisasikan.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 36 bulan lagi.

Beliau berkata, pemilihan kontraktor turut dilaksanakan untuk memastikan pembinaan lebuh raya tersebut tidak tergendala lagi.

- Advertisement -

“Kita menilai keupayaan kontraktor dari pelbagai sudut, jadi bagi kita pemilihan kali ini dianggap sudah tepat, mungkin ada masalah lain menyebabkan berlaku kelewatan sebelum ini.

“Bagi pembinaan projek tersebut kemajuan kerja 2.78 peratus jadual berbanding 2.92 peratus sebenar dan dijangka siap sepenuh bulan Mac 2025,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Azami juga berkata, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan ahli parlimen Jeli Dato’ Seri Mustapa Mohamed ditubuhkan bagi pastikan pembinaan lebuh raya tersebut berjalan lancar.

Menurutnya pertemuan antara kerajaan negeri dan Persekutuan diadakan sebulan sekali bagi memastikan projek tersebut berjalan mengikut jadual.

Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membina laluan tersebut.

Ia membabitkan jajaran 10 kilometer dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab Machang. – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -